Tanggungjawab Jayakan "Minda Negara" Perlu Kesepaduan IPT Awam Dan Swasta

Tanggungjawab Jayakan "Minda Negara" Perlu Kesepaduan IPT Awam Dan Swasta

Sektor pendidikan tinggi acap kali diangkat sebagai "minda negara" (brain of the nation) kerana kepentingan peranannya melatih bakat-bakat berguna dalam mencorakkan masa depan Malaysia.

Justeru menurut YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, biarpun Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta memiliki jalur dan tujahan yang berbeza, kesepaduan yang boleh terjalin antara mereka mampu melahirkan potensi besar dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut.

YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata demikian kepada para mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketika majlis berbuka puasa di sini petang tadi.

Tambah beliau lagi, kolaborasi tersebut bukan sahaja boleh melahirkan bakat, malah mampu bergerak seiring dalam menjayakan kerangka Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri.

Majlis tersebut telah turut disertai oleh para pengarah serta perwakilan pelajar daripada IPT swasta dan awam termasuklah kolej komuniti dan politeknik sekitar Kota Kinabalu.

Selain itu, YB Timbalan Menteri turut menekankan keperluan untuk mahasiswa menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi yang penting tanpa mengenepikan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Hadir sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, ahli-ahli Lembaga Pengarah, dan barisan pengurusan universiti tersebut. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 662
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.