'Tech Accelarator Nationwide Program' Usaha KPT, Talentcorp Dan Microsoft Perkasa Pengetahuan Digital Mahasiswa

'Tech Accelarator Nationwide Program' Usaha KPT, Talentcorp Dan Microsoft Perkasa Pengetahuan Digital Mahasiswa

Usaha melengkapkan mahasiswa dengan pelbagai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh pasaran kerja, apatah lagi dengan penglibatan industri sentiasa menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjadikan Malaysia sebagai hab bakat terbaik serantau.

Justeru, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal menyifatkan kempen 'Bersama Malaysia' yang dijayakan oleh Microsoft Malaysia untuk melatih mahasiswa universiti awam (UA) dengan kemahiran dan pengetahuan digital terkini sebagai sebuah langkah terbaik dalam meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Beliau bercakap demikian ketika hadir menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) untuk melaksanakan program 'Tech Accelerator Nationwide Program' melibatkan KPT dengan Microsoft Malaysia di ibu negara petang semalam.

Program di bawah kempen ‘Bersama Malaysia’ kelolaan Microsoft Malaysia itu sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan Kementerian Pendidikan Tinggi (2021-2025) yang memfokuskan usaha dalam memantapkan lagi kecekapan digital mahasiswa.

Ia akan dilaksanakan melalui siri latihan dan kemahiran digital secara hibrid kepada kira-kira 1,000 orang pelajar daripada 20 buah universiti awam (UA) yang akan dikendalikan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai universiti perintis.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, kemahiran digital dan kearifan teknikal akan menjadi unsur penting dalam mengekalkan nilai dan keterjalinan bakat negara dalam dunia digital.

Tambah beliau lagi, program ini bakal menggabungkan para pendidik terlatih bersama Microsof Experts dalam membimbing para mahasiswa dengan kemahiran digital terkini.

Jelas beliau, KPT akan sentiasa mengalu-alukan usaha penggabungjalinan kepakaran dan pengalaman antara industri dan institusi-institusi pendidikan tinggi yang boleh dimanfaatkan bagi memperkaya kebolehan generasi jati digital (digital natives) ini mendepani cabaran dan peluang masa hadapan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1674
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.