Tengku Mahkota Pahang Berbuka Bersama Menteri, Warga UMPSA

Tengku Mahkota Pahang Berbuka Bersama Menteri, Warga UMPSA

Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat bercemar duli beramah mesra dan berbuka puasa bersama lebih 2000 pelajar dan staf Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) petang tadi.

Keberangkatan Tengku Hassanal yang juga Pro Canselor UMPSA itu telah disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; Pengerusi LPU UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar; dan Naib Canselor UMPSA, Prof. Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.

Pada majlis tersebut, baginda berkenan mengurniakan sumbangan daripada Yayasan UMPSA melibatkan dana sebanyak RM1.8 juta bagi pelbagai program antaranya pemberian Zakat Pelajar; bantuan Insentif Kecemerlangan dan Pendidikan; bantuan 'Campus Pantry' dan Dapur Siswa; serta penajaan Biasiswa UMPSA.

Selain itu, pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan serta sektor swasta turut menyerahkan sumbangan dan bayaran zakat sebagai manfaat kelangsungan pelajar dan pembangunan UMPSA.

Baginda seterusnya menunaikan solat fardu maghrib berjemaah bersama warga UMPSA yang hadir sebelum berangkat pulang.

YB Menteri pula, meneruskan program Semarak Ramadannya di Masjid UMPSA sebagaimana kelaziman di Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain.

Sebelum bermoreh, beliau turut menyertai acara mengacau dodol yang diadakan secara bergotong royong sesama warga UMPSA.

Beliau turut menyempurnakan acara pelepasan kempen 'Pandu Cermat, Sampai Selamat' UMPSA bersempena musim pulang ke kampung pada cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba minggu hadapan. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 899
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 30 April 2024, 23:06:49.