Timbalan Menteri Pengerusikan Dialog, Kupas Isu Bekalan Air Di UMS
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud mengadakan lawatan ke Projek Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 (fasa 2) yang sedang dalam pembinaan di Tuaran, Sabah pada Khamis.
Lawatan kerja ini bertujuan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan perkembangan pembinaan LRA Telibong 2 yang apabila pengoperasiannya kelak mampu menangani isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Selain itu, satu sesi dialog turut berlangsung dengan YB Timbalan Menteri telah mempengerusikan sesi berkenaan yang melibatkan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pelajar (MPP), UMS serta pengurusan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
Penganjuran sesi dialog itu sebagai usaha dalam memastikan penyampaian maklumat yang telus terutama kepada barisan kepimpinan pelajar supaya ia dapat dikongsikan kepada pelajar-pelajar lain mengenai situasi sebenar isu bekalan air yang melanda UMS.
Pimpinan mahasiswa juga turut mengutarakan pelbagai persoalan dan cadangan bagi memastikan warga kampus mendapat bekalan air yang stabil.
JANS turut mengambil maklum mengenai harapan warga kampus dan komited untuk memastikan bekalan air ke UMS melalui Tangki R13 melebihi 3 juta Liter sehari bagi memenuhi permintaan.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan impak isu bekalan air, sebagai solusi jangka masa pendek, UMS akan meneruskan usaha menyiapkan projek telaga tiub bagi mendapatkan sumber air bawah tanah.
Namun solusi jangka panjang masih bergantung kepada JANS untuk memastikan bekalan air dapat disalur ke UMS dengan kadar yang mencukupi bagi memenuhi permintaan warga.
Turut hadir dalam lawatan kerja dan sesi dialog adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dan Yang Dipertua MPP, Roslan Abdullah.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 1277