Tirai Karnival Sukan Masum Fasa 1 Dibuka!

Tirai Karnival Sukan Masum Fasa 1 Dibuka!

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts Mustapha Sakmud telah menyempurnakan perasmian Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 1 dari 22 hingga 27 April 2024 yang berlangsung meriah malam tadi di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sebanyak tujuh acara dipertandingkan iaitu Taekwondo, Ping Pong, Bola Tampar Pantai, Petanque, Silat, Catur dan Memanah melibatkan 20 Universiti Awam (UA) yang akan berlangsung sehingga 27 April 2024.

Dalam ucapannya, beliau berkata penglibatan 20 kontinjen daripada UA ini membuktikan bahawa mahasiswa-mahasiswi bukan sahaja komited di bilik kuliah tetapi juga berpotensi besar dalam bidang sukan.

Beliau amat menghargai komitmen dan kerja keras seluruh warga MASUM dan warga sukan UA yang terus berusaha memperkasakan pembangunan sukan di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan sebagai tulang belakang kepada pembangunan sukan negara.

Katanya, sektor pendidikan tinggi negara haruslah terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara.

Beliau turut berpesan agar semua atlet bertanding dengan penuh semangat kesukanan, ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Turut hadir, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Malaysia Perlis merangkap pengerusi MASUM, Profesor Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri bin Abdullah; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengarah-pengarah Pusat Sukan Universiti Awam. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 263
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.