TNC HEPA Jambatan Penting Hubung Universiti Dan Mahasiswa

TNC HEPA Jambatan Penting Hubung Universiti Dan Mahasiswa

Peranan seorang Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Akademik (TNC HEPA) diibaratkan sebagai sebuah jambatan yang merapatkan hubungan antara universiti dan mahasiswa serta menjadikan institusi itu mesra pelajar, selesa dan menyeronokkan sekali gus mampu menjadikan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempatan diyakini dan dihormati.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyarankan agar para TNC HEPA memainkan peranan dalam proses pemindahan ilmu (knowledge transfer programme) kepada masyarakat dengan melaluinya, pelajar IPT bukan sahaja cemerlang akademik dan kritis, malah punya nilai dan keperibadian yang unggul.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Khas bersama Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TTNC) / Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) IPT di sini malam semalam.

Program yang julung kali diadakan tersebut telah menjadi ruang perbincangan serta perkongsian antara mereka bagi tujuan penambahbaikan terhadap perkara-perkara yang telah dirangka dan dirancang oleh setiap IPT.

Para wakil TTNC HEPA telah membentangkan 7 Kerangka Tumpuan HEPA bagi tahun 2023-2025, antaranya agenda Pemerkasaan Mahasiswa; Kepimpinan dan Penyerlahan Bakat; Lonjakan Keusahawanan Mahasiswa; Penjajaran Kebolehpasaran Graduan; serta Memasyarakatkan Universiti.

"Diharap agar semua TNC HEPA IPT di seluruh negara dapat berganding bahu dalam meneroka hasil serta dapatan yang berkesan.

Ini bukan sahaja dapat menjayakan peranan serta matlamat Kementerian, tetapi juga untuk merealisasikan agenda Malaysia MADANI," tambah YB Menteri lagi.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; serta Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 770
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.