YB Menteri Kunjungi AKEPT

YB Menteri Kunjungi AKEPT

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang baharu sahaja kembali ke tanah air setelah misi lawatan kerja di United Kingdom dan Malta telah bertemu dengan para pengurusan tertinggi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di sini pagi tadi.

Diiringi oleh Timbalannya, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, kunjungan beliau telah disambut oleh Pengarah AKEPT, Prof. Dr Harshita Aini Haroon.

Lawatan ke AKEPT tersebut adalah bersempena Program Pengukuhan Pelan Tindakan Hala Tuju Pendidikan Tinggi 2024 yang sedang dilangsungkan di situ.

Dalam taklimat yang disampaikan oleh Pengarah AKEPT, YB Menteri telah menerima gambaran berkenaan pencapaian, hala tuju serta cabaran Institut Latihan Awam (ILA) di bawah KPT tersebut dalam menjayakan fungsinya untuk mewujudkan platform perkongsian pengetahuan dan menjadi landasan bagi pemikir dalam kepimpinan pendidikan tinggi.

Selain itu, AKEPT turut berperanan dalam menginstitusikan pengurusan bakat kepimpinan berasaskan kompetensi yang komprehensif; serta merancang dan melaksanakan program pembangunan berdasarkan 'AKEPT Leadership Framework'.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT yang turut menjalankan fungsi Ketua Setiausaha (KPT), Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian dan TKSU (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 410
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.