logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA

MAJLIS PERASMIAN SUKAN MASUM FASA 1 2023

17 OGOS 2023


  1. Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah SWT. Sesungguhnya, hanya dengan limpahan rahmat dan kurnia-Nya kita semua dapat bersama-sama pada malam ini bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 1 2023 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada malam ini.
  1. Kepada semua atlet, pegawai dan tetamu selamat datang saya ucapkan. Syabas dan Terima Kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan tuan rumah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang telah menggalas tanggungjawab dan amanah yang berat pada edisi kali ini.

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Saya sangat berbesar hati dan gembira berpeluang bertemu dengan para atlet dan penggiat sukan di IPTA pada malam ini.
  1. Majlis pada malam ini jelas menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang cemerlang kepada barisan atlet IPTA yang akan bersaing dalam penyertaan 8 acara sukan yang akan dipertandingkan pada fasa 1 bermula dari 15 hingga 20 Ogos ini.
  2. Penganjuran dan pengelolaan temasya seperti ini secara asasnya, menggambarkan betapa sektor pendidikan tinggi negara mempunyai kepelbagaian terutama dalam membina ketrampilan mahasiswa yang komprehensif dan berdaya saing secara sihat dan positif melalui aspek sukan.
  1. Ia menunjukkan dengan sangat jelas. Bahawa selain menumpukan kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, hubungan yang erat dengan industri, sektor pendidikan tinggi negara turut memberi penekanan yang sangat besar kepada usaha menggilap potensi dan bakat dalam arena sukan. Baik di peringkat universiti, di peringkat kebangsaan mahupun di pentas dunia.

Para hadirin sekalian,

  1. Kita sedar dan sedia maklum pencapaian dan penglibatan atlet di IPT kita yagng amat menyerlah di peringkat antarabangsa. Malah, pencapaian di peringkat rantau ASEAN baru-baru ini juga cukup membanggakan.
  1. Pada penglibatan di peringkat Sukan SEA, atlet-atlet IPT kita mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang sebanyak 85 pingat daripada 175 pingat yang diperolehi kontinjen negara.
  1. Jumlah ini bersamaan 48.57% atau hampir separuh daripada pungutan pingat negara di Sukan SEA yang lalu disumbangkan oleh atlet-atlet IPT.
  1. Alhamdulillah dalam penyertaan atlet IPT kita baru-baru ini di temasya Sukan Universiti Dunia UNIVERSIADE 2023 yang telah berlangsung pada 26 Julai hingga 8 Ogos 2023 di Chengdu, China, Kontingen Malaysia telah mencipta sejarah, menamatkan kemarau 38 tahun penyertaan sejak penyertaan pertama di Universiade, Kobe, Jepun pada 1985 apabila memperoleh pingat emas pertama menerusi atlet Wusyu, Tammy Tan Hui Ling dengan keseluruhan pencapaian 1 Emas, 1 Perak dan 5 Gangsa serta 2 Rekod Baharu Kebangsaan. Syabas dan tahniah saya ucapkan.
  1. Sudah pastilah pencapaian tersebut amat memberangsangkan dan membuktikan kita berada di landasan yang betul dalam membantu ekosistem kecemerlangan sukan negara.
  1. Pada waktu yang sama juga, peranan dan kejayaan atlet IPT telah di pelbagai temasya sukan antarabangsa telah mula membuka mata Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara dan juga Institut Sukan Negara. Ini membuktikan bahawa program-program pembangunan sukan prestasi tinggi yang telah disusun menerusi Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) dan Pusat Sukan Tumpuan (PST) sepertimana yang telah disasarkan dalam Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT 2009) telah mencapai objektifnya.
  1. Lanjutan dari itu Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS) telah diaktifkan semula dan dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri sendiri dan membabitkan tiga Kementerian utama iaitu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Satu jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) telah ditubuhkan terutama untuk intipati utama bagi memperkasakan sukan olahraga dan sukan renang di peringkat IPT. Ini bagi memastikan kita akan dapat melahirkan atlet-atlet olahraga dan renang untuk mewakili negara. Ini kerana sukan olahraga dan renang merupakan sukan lubuk emas yang menawarkan jumlah pungutan pingat yang terbanyak sekali. Saya menyeru kepada semua IPT untuk menyahut peranan tersebut dan bersama-sama Seksyen Sukan KPT untuk memperkasakan sukan olahraga dan renang dengan keupayaan masing-masing.
  1. Saya juga mengucapkan tahniah atas beberapa transformasi dalam aspek penganjuran kejohanan dengan ujudnya temasya sukan jenama baru di IPT seperti Varsity Track and Field, Varsity Sepak Takraw League, Varsity Softball League, Varsity Basketball 3 on 3 dan pelbagai kejohanan lain bagi memastikan sukan itu berjalan sepanjang tahun dalam bentuk sirkit dan grand final. Saya percaya perubahan ini sudah pasti akan menyumbang kepada peningkatan prestasi atlet IPT secara lebih sistematik.
  1. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh mudah berpuas hati. Sektor pendidikan tinggi negara harus terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara kita dengan lebih bermakna.
  1. Kita mesti sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.
  1. Sebagai salah satu daripada 4 Majlis Sukan yang bernaung di bawah KPT, Majlis Sukan Universiti Malaysia atau MASUM telah kita berikan mandat yang sangat besar untuk membangunkan sukan di peringkat IPT dan menjadi pemangkin kepada instistusi yang ada dibawah sektor pendidikan tinggi.
  1. Dikesempatan ini juga saya mewakili pihak Kementerian Pendidikan tinggi sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih kepada semua atlet dan IPT yang mengambil bahagian di kejohanan karnival MASUM fasa 1 ini dan difahamkan selepas ini sebahagian dari pegawai yang ada akan berkampung di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM) bagi edisi fasa 2 bermula 24 hingga 30 Ogos ini.
  1. Selamat maju jaya dan semoga kita dapat mempamerkan prestasi cemerlang dan mengatasi rekod serta pencapaian sebelum ini.
  1. Akhir kata, sekali lagi, sekalung penghargaan saya zahirkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan penganjuran pada edisi ini, khususnya kepada pihak MASUM dan USIM yang telah sedaya upaya memastikan penganjuran ini diuruskan dengan sebaiknya. Kepada para atlet sekalian, syabas, tahniah dan selamat maju jaya saya ucapkan!
  1. Teruskan berjuang dengan semangat ‘Minda Juara’. Insya-Allah, pencapaian yang lebih gemilang akan dapat dikecapi.
  1. Justeru, dengan lafaz Bismillahirahmannirahim saya dengan suka citanya merasmikan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malasysia (MASUM) 2023.

Sekian, terima kasih.

Muat Turun:

pdf KSU - Teks Ucapan Bersama Majlis Perasmian Sukan MASUM Fasa 1 2023.pdf (146 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4959
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.