logo kpt black

TEKS UCAPAN

YBHG. DATO’ SERI ABDUL RAZAK BIN JAAFAR
KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI

MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KPT NOVEMBER 2022

15 NOVEMBER 2022


MUKADIMAH DAN EKSPRESI PENGHARGAAN

  1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya jua, kita masih diberi kesempatan untuk bersama-sama di Majlis Perhimpunan Bulanan, Kementerian Pengajian Tinggi 2022. Majlis ini begitu signifikan kerana saya dapat berjumpa dengan warga KPT dalam jumlah yang begitu ramai.
  1. Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada beberapa Bahagian/ Agensi yang bersama-sama menggembleng tenaga bagi menjayakan majlis Perhimpunan Bulanan pada hari ini, iaitu Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Bahagian Dasar dan Penyelidikan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Bahagian Pengurusan Maklumat dan juga MQA. Komitmen, kesungguhan serta kerjasama yang ditunjukkan amat saya hargai bagi merealisasikan program pada hari ini.
  1. Saya juga amat menghargai kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini. Sesungguhnya majlis sebegini merupakan satu platform penting bagi menghimpunkan sebahagian besar warga KPT untuk mendengar amanat daripada pengurusan tertinggi yang dijajarkan dengan hasrat dan aspirasi kementerian.
  1. Selain itu, pertemuan sebegini juga adalah sebagai satu wadah untuk semua warga berjumpa, berinteraksi dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain meskipun berbeza bahagian dan tugasan.

JAMBANGAN BUDI SELAUT BAKTI

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Majlis kita pada hari ini bukan sahaja menghimpunkan warga KPT yang masih berada dalam perkhidmatan tetapi uniknya perhimpunan kita kali ini ialah apabila kita dapat menghimpunkan bersama-sama warga KPT yang menamatkan perkhidmatan mereka pada tahun ini. Saya dimaklumkan bahawa terdapat seramai 153 orang pesara di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada tahun 2022 yang terdiri daripada 4 orang pesara dari Ibu Pejabat KPT, 10 orang pesara dari Ibu Pejabat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), 13 orang pesara dari Kolej Komuniti dan 126 orang pesara dari Politeknik.
  1. Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua 55 orang pesara yang dapat menghadirkan diri terutamanya kepada Dr Zubaidah binti Aman, Timbalan Ketua Pengarah JPPKK dan YBrs. Haji Mohd Fisal bin Haroon, mantan Pengarah Politeknik Ungku Omar. Saya difahamkan ada yang datang dari Port Dickson, Kuala Terengganu, Kulim, Kok Lanas, Segamat dan sebagainya. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja telah menyerlahkan keserian majlis kita pada hari ini, malah bakal menyingkap nostalgia serta menyematkan kenangan dalam lipatan sejarah Kementerian ini.
  1. Persaraan merupakan satu tahap baru dalam kehidupan seseorang manusia. Akan menjadi satu kelainan kepada tuan-tuan dan puan-puan apabila menjelang pagi dimana rutin seharian sebelum ini berubah. Saya berpesan juga kepada semua yang hadir dan juga diri saya, kesihatan diri perlulah diberi keutamaan demi kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna untuk kita nikmati pula dalam fasa persaraan ini.
  1. Jangan sesekali kita lupa dengan hubungan kita dengan mereka yang berada di luar ruang lingkup kerja. Selain itu, saya juga yakin bahawa kebanyakan daripada pesara di sini sudah mempunyai perancangan dan persediaan persaraan. Masa-masa yang ada gunakan sebaiknya untuk untuk meneruskan minat dan hobi yang kita ada. Saya yakin dan percaya tuan-tuan dan puan-puan akan dapat melalui fasa peralihan ini kepada sesuatu yang bernilai positif.
  1. Sumbangan dan usaha yang telah diberikan pastinya akan terus dikenang dan persahabatan yang terjalin sepanjang perkhidmatan tidak akan terhenti di sini malah akan terus berkekalan. KPT kehilangan pegawai-pegawai yang berpengalaman namun saya percaya tuan-tuan dan puan-puan akan terus bersemanta untuk menyumbang kepakaran tuan-tuan dan puan-puan kepada bangsa dan negara.
  1. Oleh itu, saya bagi pihak Kementerian ingin mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan selama berkhidmat sebagai penjawat awam dan di Kementerian ini khasnya. Sesungguhnya segala usaha, kudrat dan pengorbanan yang telah disumbangkan secara langsung mahupun tidak langsung telah membantu dan mencorakkan Kementerian ini sehingga pada hari ini. Saya doakan semoga hari-hari persaraan tuan-tuan dan puan-puan dilimpahi segala rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T.

REFLEKSI PENCAPAIAN KPT TAHUN 2022

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. “Jika hendak mencari rotan, jangan takut dengan onaknya.” Bermaksud, jika kita mahu kan sesuatu jangan takut akan ujian dan cabaran yang bakal kita hadapi. Hal ini kerana, setiap kejayaan pasti ada onak dan duri. Teruskan melangkah ke hadapan sehingga tercapai apa yang dimpikan.
  1. Dalam melakar hala tuju strategik KPT bagi tahun ini, kita telah memfokuskan peranan KPT dengan melaksanakan Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) YB Menteri Pengajian Tinggi yang berlandaskan tiga prinsip Keluarga Malaysia iaitu:
    1. Prinsip 1: Peka kepada keperluan semasa;
    2. Prinsip 2: Bertanggungjawab dan amanah; dan
    3. Prinsip 3: Mengembalikan semula keyakinan.
  1. Syukur Alhamdulillah, serta tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan program. Saya percaya, ketiga-tiga prinsip yang saya nyatakan tadi telah kita terapkan secara keseluruhannya pada keenam-enam AKM yang kita laksanakan.
  1. Yang pertama, program Gethired@KPT telah mensasarkan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada seramai 15,000 pelajar. Tetapi pencapaian yang telah dicapai adalah seramai 15,311 pelajar dengan peratus pencapaian sebanyak 102.07% telah mendapat manfaat daripada program ini.
  1. Yang kedua, dalam memacu kesejahteraan komuniti, KPT telah mengambil inisiatif melalui program IPT for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY) dengan melaksanakan pendekatan inovasi sosial bersama masyarakat setempat. Dengan sasaran 25,000 penerima manfaat, kita telah mencapai lebih daripada sasaran iaitu sebanyak 37,906 penerima manfaat dan peratus pencapaian sebanyak 151.62%.
  1. Yang ketiga, menerusi Inisiatif Public Private Research Network (PPRN) pula, 40 Perusahaan Micro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang disasarkan telah menerima manfaat melalui inisiatif ini. Ianya merupakan kerjasama strategik antara industri dan akademia untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan pertubuhan ekonomi Malaysia melalui program inovasi dan pengkomersialan.             
  1. Seterusnya yang keempat, program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan program yang dilaksanakan oleh universiti, politeknik dan kolej komuniti. Program latihan semula kemahiran (reskilling), peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan keusahawanan secara berterusan telah ditawarkan bagi meningkatkan taraf ekonomi komuniti setempat. Sasaran bagi program ini adalah 140,000 penyertaan. Satu jumlah yang besar, tetapi KPT telah melebihi sasaran dengan pencapaian sebanyak 413,546 penyertaan dan peratus keseluruhan adalah 295.39%.
  1. Selain itu, berlandaskan kepada prinsip 1 iaitu peka kepada keperluan semasa, KPT menerusi program Food@Campus Keluarga Malaysia telah mengedarkan 369,504 baucar makanan kepada 176,083 pelajar Universiti Awan(UA) B40 secara bersasar bagi membantu meringankan kos kenaikan harga makanan kepada para pelajar. Pencapaian ini telah melebihi sasaran asal iaitu sebanyak 300,000 baucar.
  1. Inisiatif yang keenam adalah program MyDigital Educators@MoHE. Program ini juga telah mencapai sasaran dimana 1,000 pensyarah menyertai program penyediaan latihan semula dan peningkatan kemahiran pensyarah (upskiling dan reskilling) dalam pedagogi digital, mereka bentuk dan membangunkan sumber/media digital berkualiti untuk pengajaran dan pembelajaran.
  1. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan sasaran KPT dicapai. Sesungguhnya, apa yang saya kongsikan tadi tidak akan tercapai tanpa usaha keras setiap individu dalam keluarga besar KPT."If everyone is moving forward together, then success takes care of itself."

SEMINAR PERANCANGAN STRATEGIK  KAJIAN SEPARUH PENGGAL KPT 2022

Hadirin dan hadirat sekalian,

  1. Meskipun kita berdepan dengan pelbagai cabaran dan ketidaktentuan, namun kita telah berjaya mengurus banyak perkara. Alhamdulillah, pada bulan Oktober yang lepas, kita telah mengadakan Seminar Perancangan Strategik, Kajian Separuh Penggal, KPT 2022 yang merupakan saluran untuk kita menganalisis pencapaian KPT separuh penggal tahun ini.
  1. Dari segi pencapaian prestasi keseluruhan, purata pencapaian SKT KPT sehingga 30 September 2022 adalah 78.41 peratus. Prestasi ini agak baik mengambil kira masih berbaki lebih kurang 2 bulan sahaja lagi sebelum berakhirnya tahun 2022.
  1. Dari segi program Bitara pula, sebanyak 72 program Bitara yang telah diluluskan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi, 17 telah selesai, lapan (8) ditangguhkan pelaksanaannya ke tahun 2023 dan tiga (3) lagi telah digugurkan pelaksanaannya atas justifikasi tertentu. 44 lagi masih dalam tindakan dan akan disiapkan mengikut sasaran pada tahun ini.
  1. Jumlah ini agak besar dan bagi projek-projek yang belum selesai, saya berharap ketua-ketua sektor, jabatan, dan agensi-agensi dapat pastikan supaya projek-projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan. Berbaki lebih kurang 2 bulan yang ada, marilah kita bersama-sama “work smart, play hard” dalam melaksanakan apa yang telah kita sasarkan.

PELAN TINDAKAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA 2022–2025

Tuan-tuan dan puan-puan, 

  1. Umum sedia maklum bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (dahulunya dikenali sebagai Kementerian Pendidikan Tinggi) telah membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015–2025 (Pendidikan Tinggi) atau ringkasnya PPPM (PT) iaitu satu dokumen strategik yang menjadi kompas kepada hala tuju pendidikan tinggi negara ini. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran baru muncul yang turut mempengaruhi landskap pendidikan tinggi negara ini.
  1. Pada tahun 2020, negara dilanda pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19, perubahan struktur pentadbiran dan Kerajaan serta dasar-dasar utama kebangsaan seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas. KPT berpandangan bahawa satu pelan tindakan yang lebih bersifat middle tier bagi menjelaskan program-program, pelaksana program berserta sasarannya, perlu disediakan. Berikutan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah membangunkan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 bagi menyokong PPPM (PT).
  1. Proses membangunkan Pelan Tindakan telah pun selesai. Namun ia bukan bermakna kita asyik bercerita tentang kejayaan ini dan terus meraikannya. Cabaran yang lebih besar menanti adalah pelaksanaan terhadap apa yang dirancang seperti di dalam dokumen tersebut. Pelan Tindakan ini menggariskan 10 Lonjakan, 32 strategi, 65 inisiatif dan 111 program. Bagaimana untuk menjayakan inisiatif dan program-program ini, saya menaruh kepercayaan kepada ketua-ketua jabatan, bahagian dan agensi untuk mengoperasikannya.
  1. Kita akur bahawa setiap satu program pastinya mempunyai cabaran tersendiri dalam melaksanakannya. Namun begitu, saya percaya dengan perancangan yang rapi, pemantauan yang berterusan dan komitmen yang padu dari setiap warga KPT, program-program yang dirancang ini dapat dilaksanakan dan mencapai objektif seperti yang diharapkan.
  1. Objektif pelan ini dibangunkan adalah bagi mengkaji dan menilai prestasi semasa dari aspek relevansi inisiatif serta program berlandaskan perubahan dan perkembangan terkini pendidikan tinggi. 
  1. Bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan ini, KPT telah menyediakan satu tadbir urus yang terdiri daripada Jawatankuasa Pemantauan PTPTM di mana surat lantikan kepada ketua-ketua lonjakan telah pun disediakan. Perancangan dasar merupakan satu proses yang berterusan dan sebagai langkah selanjutnya, KPT akan memulakan aktiviti menyediakan pelan pembangunan pendidikan tinggi jangka panjang iaitu pelan sepuluh tahun, pada tahun 2023. Insya Allah.
  1. Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan penyelidik yang terdiri daripada Uni-Technologies Sendirian Berhad (UTSB) dan mereka yang telah menyumbang idea, masa dan tenaga bagi menghasilkan pelan tindakan ini.
  1. Semoga dengan pembangunan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025, KPT berjaya mencapai kecemerlangan akademik yang mampan di peringkat global bagi tahun 2022 hingga 2025. 

PELAN STRATEGIK PENDIGITALAN KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI (PSP KPT) 2021 – 2025

Hadirin dan hadirat sekalian, 

  1. Sepertimana kita semua sedia maklum, pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang amat besar kepada landskap digitalisasi negara. Sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan khususnya perkhidmatan pendidikan tinggi tidak terkecuali terkesan dengan pandemik ini. 
  1. Memasuki fasa endemik COVID-19, transformasi digital secara drastik telah menjadi kaedah pemudahcara untuk memenuhi jangkaan pemegang taruh dan pelanggan bagi menjamin sistem penyampaian yang efisien dan efektif. Tujuan kita di Kementerian Pengajian Tinggi membangunkan Pelan Strategik Pendigitalan adalah bagi menyediakan satu rangka kerja pendigitalan KPT yang komprehensif dan holistik.
  1. PSP KPT 2021-2025 yang dibangunkan ini menggariskan empat (4) teras strategik, 11 strategi dan 39 program pendigitalan bagi mengatasi isu semasa ICT dan memacu ke arah kecemerlangan sistem penyampaian KPT berteraskan ICT. Pelan ini adalah blueprint mengandungi pelaksanaan teknologi digital yang terancang selaras dengan keutamaan keperluan pengurusan dan operasi KPT. Penggunaan teknologi digital diperkasakan lagi melalui PSP KPT 2021-2025.
  1. Menjadi harapan saya agar setiap warga KPT dapat mengenalpasti dan memahami hala tuju teknologi digital yang ditetapkan dan memberi komitmen penuh serta berusaha gigih bagi memastikan proses pendigitalan direalisasikan. “Bersama Menuju Pendigitalan!”.

PENUTUP

Hadirin sekalian,

  1. Sepanjang 11 bulan saya menerajui pengurusan kementerian ini, kita telah berjaya meraih beberapa pencapaian, hala tuju dan strategi penting KPT. Saya percaya, saya tidak mampu bergerak bersendirian untuk menjayakan semua aspirasi yang diilhamkan, tetapi saya memerlukan sokongan semua pihak sama ada di Kementerian, jabatan dan agensi di bawah Kementerian, Universiti Awam, IPTS, Politeknik dan juga Kolej Komuniti.
  1. Akhir kalam, semoga kita semua dapat meningkatkan semangat, menggandakan usaha dan berganding bahu demi menjayakan aspirasi dan matlamat KPT. Memetik kata-kata Vince Lombardi, seorang pelatih bolasepak, katanya : “The achievement of an organization are the results of the combined effort of each individual . Sesungguhnya kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha dan keazaman yang tinggi serta semangat kerja berpasukan untuk menempa kecemerlangan pada masa hadapan.
  1. Oleh itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2022–2025 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPT 2021-2025.

Sekian, Wabillahitaufik, Walhidayah Wassalamualaikum Warah matullahi Wabarakatuh

Muat Turun:

pdf Teks Ucapan KSU Perhimpunan Bulanan.pdf (234 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 30861
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim