logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

DIBACAKAN OLEH:
YBHG. DATUK DR. MOHD ZABRI YUSOFF
TIMBALAN KETUA SETIAUSAHA (PENGURUSAN DAN PEMBANGUNAN ) KPT

MAJLIS PERASMIAN PERALATAN PERUBATAN RMK-12
HOSPITAL CANSELOR TUANKU MUHRIZ
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

30 OKTOBER 2023


Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

  1. Alhamdulillah, segala puji-pujian bagi Allah SWT atas segala rahmat- Nya, kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Perasmian Peralatan Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia pada hari ini.
  1. Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Hospital Canselor Tuanku Muhriz, UKM atas jemputan ini.
  1. Saya amat berbesar hati dapat bertemu dengan warga UKM, khususnya HCTM. Dan saya harap, majlis pada hari ini akan membawa nilai tambah yang penting kepada HCTM serta menjadi satu lagi pencapaian yang bermakna kepada hospital pengajar ini.

Hadirin sekalian,

  1. Semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu, kita menyaksikan peningkatan peruntukan kepada sektor kesihatan dari RM36.3 bilion sebelum ini kepada RM41.2 bilion ringgit untuk tahun hadapan.
  1. Sudah pasti peningkatan peruntukan yang besar ini merupakan satu isyarat yang jelas, betapa lonjakan sektor perubatan dan penjagaan kesihatan perlu menjadi fokus semua pihak, termasuklah oleh entiti yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
  1. Apatah lagi, dalam pelbagai pengumuman dan peruntukan yang besar tersebut, terdapat beberapa peruntukan yang secara jelas dikhususkan kepada usaha kemudahan dan kualiti pengajian bidang perubatan serta perkhidmatan kesihatan oleh hospital pengajar universiti.
  1. Ini termasuklah, antaranya:-
  1. Pertama, persetujuan Kerajaan untuk memulakan Fasa 1 bagi membina Kompleks Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Kota Tinggi, Johor.
  1. Peruntukan awal pembinaan HPU USIM ini akan menjadi satu lagi usaha yang akan melengkapkan ekosistem pengajian perubatan di negara kita.
  1. Kedua, peruntukan pembinaan bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM yang akan meningkatkan keupayaan dan kapasiti hospital tersebut.
  1. Ketiga, komitmen untuk memastikan pelaksanaan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.
  1. Komitmen ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan oleh HPU. Malah, akan memudah dan merancakkan kerjasama serta perkongsian maklumat atau pengetahuan antara hospital pengajar di seluruh negara.
  1. Dan keempat, seperti yang akan kita lihat dalam majlis ini, perasmian alat Angiografi Biplane di Jabatan Radiologi dan alat Fluroskopi di Pusat Perkhidmatan Endoskopi yang peruntukan untuk kedua-duanya bernilai RM9.2 juta.
  1. Secara keseluruhannya, HCTM memperoleh peruntukan sebanyak RM53 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
  1. Peruntukan ini adalah bagi tujuan penggantian alat usang di pelbagai tempat seperti Perkhidmatan Radiologi, Perkhidmatan Dewan Bedah, Perkhidmatan Endoskopi dan Perkhidmatan Radioterapi dan Onkologi.
  1. Saya yakin, hasil peruntukan yang besar ini akan membolehkan penggunaan peralatan perubatan berteknologi terkini dan canggih sekali gus meningkatkan tahap dan kualiti perkhidmatan rawatan di hospital ini.
  1. Sebagai salah sebuah Hospital Pengajar yang telah beroperasi selama 26 tahun, sudah pastilah pelbagai kemudahan, fasiliti dan peralatan yang diguna pakai selama ini memerlukan penaiktarafan, penggantian serta pembaharuan.
  1. Atas kesedaran itulah, KPT sangat berbesar hati menyokong perancangan peningkatan keupayaan melalui penambahan alat canggih yang sebahagiannya bertujuan menggantikan alat yang telah usang ini.
  1. Kita sedar, ini adalah satu keperluan yang tidak boleh dielakkan.
  1. Lebih-lebih lagi, bagi pihak KPT, kualiti dan mutu ekosistem pengajian perubatan dan kecekapan perkhidmatan yang HPU tawarkan kepada orang awam tidak boleh dikompromikan sama sekali.
  1. KPT memahami, disebabkan jumlah pesakit yang semakin meningkat, keupayaan Hospital yang terhad dan keadaan peralatan yang semakin usang, maka satu usaha memperbaharui dan menaiktaraf peralatan ini menjadi sangat mendesak.
  1. Lebih penting, biarpun terdapat beberapa kekurangan dari segi peralatan dan kemudahan, HCTM tidak pernah mengabaikan kualiti perkhidmatan mereka.
  1. Saya difahamkan HCTM baru sahaja mendapat Akreditasi Malaysian Society for Quality in Health (MSQHH) selamat 4 tahun.
  1. Tahniah saya ucapkan atas kejayaan ini.
  1. Kita harap, dengan pencapaian cemerlang serta keprihatinan Kerajaan menambah baik fasiliti Hospital ini, ia akan menjadi pemangkin yang akan terus melonjakkan semangat dan kecemerlangan HCTM.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Saya dan Kementerian Pendidikan Tinggi sekali lagi berterima kasih kepada pihak UKM, khususnya hospital pengajar ini atas segala komitmen dan sumbangan yang diberikan selama ini.
  1. Bukan sahaja dalam memastikan para pelajar kita mendapat pendidikan yang Tetapi kerana komitmen dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang berkualiti kepada masyarakat kita.
  1. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Penggunaan Peralatan Perubatan RMK-12 Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
  1. wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan TKSU PP Sempena Majlis Perasmian Peralatan Perubatan RMK 12 Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (208 KB)  

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1528
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.