logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK Ts. MUSTAPHA SAKMUD
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK MELAKA KALI KE – 21

17 FEBRUARI 2024


Terima Kasih Saudara/i pengacara majlis.

Bismillahir-Rahmanir-Rahim Assalamualaikum W.B.T dan Salam Perpaduan,
Salam Malaysia Madani.

RAMAI TETAMU HARI INI,
BERSERI-SERI DI HARI BAHAGIA,
SELAMAT BERTEMU DI MAJLIS GRADUASI,
SEMOGA TUAN PUAN SELAMAT SEJAHTERA.

1. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita semua berkumpul di sini bersama- sama bagi meraikan, Majlis Konvokesyen ke-21, Politeknik Melaka.

2. Dikesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan atas kejayaan saudara saudari menamatkan pengajian setelah menempuhi pelbagai pengalaman sebagai pelajar di Politeknik Melaka. Majlis hari ini merupakan saat yang di tunggu bagi setiap para graduan, ibu bapa dan pensyarah yang telah bertungkus-lumus dalam memastikan para graduan pada hari ini berjaya menggenggam segulung diploma.

3. Justeru itu, saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ibu bapa dan ahli keluarga graduan yang hadir di dewan ini atas segala pengorbanan, kesabaran, sokongan dan dorongan yang telah diberikan kepada anak tuan/puan bagi memastikan mereka menamatkan pengajian dengan jayanya. Alhamdulillah!

4. Sesungguhnya, segala usaha, kegigihan, ketekunan dan kesabaran anda mengharungi pengajian telah terbalas dengan pencapaian kejayaan yang disaksikan oleh semua hadirin pada hari ini.

5. Saya dimaklumkan jumlah keseluruhan graduan yang diraikan sempena majlis konvokesyen politeknik Melaka pada kali ini ialah seramai 342 graduan. Sehingga kini Politeknik Melaka telah berjaya melahirkan sejumlah 10,660 GRADUAN sejak tahun 2000. Syabas saya ucapkan!

Hadirin dan Hadirat sekalian,

6. Kita mempunyai pelbagai bentuk institusi pendidikan tinggi untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen masyarakat dan negara. Dan dalam segala bentuk dan jenis pendekatan yang ada ini, Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) merupakan institusi yang mempunyai mandat, dan mempunyai misi dan visi serta tanggungjawab yang besar dalam melahirkan graduan TVET yang bertaraf antarabangsa dan menepati keperluan industri.Ekosistem pendidikan tinggi sedang berhadapan dengan asakan revolusi industri terkini yang menuntut kita untuk bergerak pantas dan seiring dengan perubahan.

7. Justeru itu, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi secara holistik akan terus proaktif meningkatkan kualiti sistem pengajian di institusi untuk memposisikan politeknik dan kolej komuniti kepada satu tahap yang setaraf dengan institusi TVET antarabangsa. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan juga akan sentiasa ditambah baik bagi memastikan bidang yang ditawarkan kekal relevan dan responsif dalam memenuhi kehendak pasaran semasa.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

8. Sukacita saya ingin maklumkan bahawa para graduan yang ada di dalam dewan ini merupakan hasil sistem pendidikan tinggi yang berkesan. Ini terbukti dengan kadar kebolehpasaran graduan Politeknik Melaka yang tinggi iaitu pada paras 97 peratus. Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada pengarah serta seluruh warga Politeknik Melaka. Syabas!

9. Saya amat yakin Politeknik Melaka tidak hanya menfokuskan kepada penghasilan graduan terbanyak sebagai matlamat kecemerlangan tetapi mempunyai misi mengutamakan kecemerlangan dan ilmu terbaik dalam melahirkan graduan Politeknik Melaka yang berkualiti, bukan sahaja menjadi graduan pilihan industri tetapi graduan Politeknik Melaka mampu berdiri di kaki sendiri.

10. Selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berteknologi tinggi, dengan rakyat mengecapi kualiti hidup masyarakat kelas pertama, Politeknik sentiasa menegaskan bahawa tidak ada negara yang mampu mencapai kemajuan tanpa memiliki modal insan yang cemerlang dan berkemahiran tinggi, boleh bertindak balas dan kreatif terhadap perubahan ekonomi.

11. Kita percaya bahawa, tidak ada instrumen atau wahana yang lebih ampuh dalam membentuk pemikiran, kematangan dan kemajuan sesebuah masyarakat melainkan melalui jalan ilmu dan pendidikan.

12. Oleh itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkesan merupakan laluan terbaik bagi negara untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berinovasi, dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau mahupun global.

13. Saya juga amat yakin strategi memperkasa institusi melalui pemantapan jaringan kolaborasi strategik bersama rakan industri dan akademia dapat memastikan bakal graduan politeknik lebih bersedia ke alam pekerjaan dan memenuhi keperluan industri.

Hadirin dan Hadirat sekalian serta Para graduan yang diraikan,

14. Para graduan harus sentiasa bersedia dan cekal mendepani cabaran yang akan datang. Perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu dan inovasi baru agar kepakaran kekal relevan.

15. Tidak ada satu formula yang mudah untuk kita berjaya dalam hidup. Setiap individu bertanggungjawab dalam menentukan kecemerlangan kerjaya mereka. Saudara- saudari adalah antara individu-individu yang akan mencorakkan pembangunan negara.

16. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi tahniah dan syabas kepada semua graduan, ibu bapa dan ahli keluarga di majlis konvokesyen pagi ini. Penghargaan juga kepada Pengarah serta warga Politeknik Melaka dan semua pihak yang telah menyumbang usaha tenaga dan memberikan komitmen yang sangat tinggi dalam menjayakan majlis ini. Saya mendoakan agar semua warga Politeknik Melaka beroleh kekuatan dan memiliki komitmen yang tinggi dalam usaha mendokong aspirasi negara, melahirkan generasi yang berpontensi tinggi untuk menjadi pewaris dan peneraju kepimpinan negara dan seterusnya dapat memperkasakan dan mengharumkan nama politeknik di peringkat global.

DARI PUTRAJAYA KE MELAKA,
DATANG BERSAMA KELUARGA DAN RAKAN,
GRADUAN POLITEKNIK MELAKA PILIHAN UTAMA,
PENERAJU NEGARA MASA HADAPAN.

Dengan lafaz suci BISMILLAHIRRAHMANNIRAHIM, SAYA DENGAN SUKACITANYA MERASMIKAN MAJLIS KONVOKESYEN POLITEKNIK MELAKA YANG KE-21.

Sekian, wabillahhitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan - YBTM Sempena Majlis Konvokesyen Politeknik Melaka Kali ke-21 (154 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1047
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.