TEKS UCAPAN
YB DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI
MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UNIVERSITI MALAYA (UM) DAN INFINITY LOGISTICS & TRANSPORT SDN. BHD
23 FEBRUARI 2023
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Semalam saya telah menggulung Perbahasan Titah DiRaja di Parlimen. Kira-kira 29 Ahli Parlimen dari seluruh negara membangkitkan isu berkaitan Pendidikan Tinggi.
- Sebahagian besarnya menyentuh tentang kepentingan hubungan industri dengan IPT.
- Dan bagaimana kita dapat memastikan pengajian yang ditawarkan oleh universiti mempunyai padanan yang relevan dan memenuhi keperluan pasaran.
- Ramai Ahli Parlimen menyuarakan pandangan dan keresahan mereka. Kononnya jurusan pengajian kita di universiti tidak updated, memakan tempoh yang terlalu lama dan tidak menjamin pekerjaan selepas tamat pengajian.
- Sudah pasti saya tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian. Memang benar ada jurusan dan program yang mesti ditambah baik.
- Namun, untuk membuat blanket conclusion bahawa program-program pengajian kita terpisah dari realiti dan perkembangan industri, adalah juga tidak tepat.
- Jadi, apa yang akan kita saksikan hari ini adalah salah satu bukti jelas yang menyanggah dakwaan tersebut.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Bagi pihak saya secara peribadi dan KPT secara amnya, kita sudah pastinya berbesar hati untuk mengalu-alukan penglibatan industri dalam universiti.
- Zaman kedua-dua entiti ini bergerak secara berasingan atau saling bersaing, sudah berlalu.
- Sekarang adalah zaman untuk kita melonjakkan segala manfaat dan kebaikan dengan menggabungkan perspektif serta pengalaman semua pihak.
- Namun begitu, saya juga ingin tegaskan yang kerjasama antara universiti dan industri haruslah dilakukan dengan cara yang teliti dan terancang.
- Pertama, hubungan dan kerjasama universiti dan industri mestilah bersifat strategik.
- Ini bermakna, kedua-dua pihak industri dan universiti mesti menerima manfaat yang jelas dan menguntungkan kedua-dua pihak.
- Universiti tidak boleh beroperasi atau menurut sahaja kehendak industri. Sebarang tuntutan atau desakan industri mesti diteliti dan dilakukan dengan cara yang seimbang, objektif dan praktikal.
- Universiti mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk mempertahankan integriti dan kesarjanaan dunia akademik.
- Namun, pada masa yang sama, sebagai sebuah syarikat logistik yang mempunyai jangkauan perkhidmatan merentasi Asia Tenggara, saya percaya INFINITY juga mempunyai peranan dan jangkaan mereka yang tersendiri terhadap pihak UM.
- Jadi, kita boleh faham yang kehadiran INFINITY ke UM ini dijayakan dengan harapan ia akan memberi impak dan nilai tambah yang sebenar kepada kedua-dua pihak.
- Dan kalau boleh, biarlah ia mesti merentas dan melangkau perspektif mendapatkan bekalan bakat atau sumber manusia semata-mata.
- Ia mesti melibatkan pemindahan kepakaran, perkongsian ilmu serta pemantapan amalan terbaik.
- Terutamanya dalam pendekatan double helix ini, segala isu dalam industri akan dapat dikongsikan secara terus dengan universiti.
- Menjadi peranan universiti untuk membantu memikirkan saranan atau jalan penyelesaian menggunakan ilmu dan kepakaran yang ada di fakulti.
- Atas dasar itu, apabila dimaklumkan bahawa di bawah kerjasama ini, pihak INFINITY akan bersama-sama dengan Universiti Malaya untuk membuka makmal penyelidikan di sini, saya amat berbesar hati.
- Kerana saya sedar, pembukaan makmal penyelidikan tersebut akan membolehkan perkongsian input industri dan penyelidikan akademik berjalan dengan rancak dan seiring.
- Kedua, hubungan dan kerjasama universiti dan industri mestilah dilakukan dengan sasaran untuk memperkemas operasi, teknologi dan amalan semasa.
- Kita harap dengan kehadiran INFINITY, pihak Universiti Malaya akan berupaya untuk membuat audit atau semakan ke atas kandungan pengajiannya.
- Ia akan menjadi satu petunjuk yang baik dalam memastikan kandungan pengajian di universiti diselaraskan secara berkala dan selari dengan perkembangan yang berlaku dalam pasaran.
- Begitu jugalah kepada pihak INFINITY, kita percaya, kehadiran mereka di Universiti Malaya pastinya akan membolehkan mereka mengubah pelbagai amalan dan sistem yang mereka gunakan selama ini.
- Inilah masa untuk pihak industri memantapkan operasinya.
- Misalnya, di bawah kerjasama ini, saya yakin akan terdapat banyak saranan dan dapatan dari UM yang boleh membantu pihak INFINITY menjimatkan kos operasi.
- Atau kalian akan bersama-sama menemui jalan terbaik untuk mengadaptasi gelombang pendigitalan, sekali gus dapat meningkatkan kecekapan operasi. Serta meneroka cakupan pasaran baharu.
- Atau, untuk merancang pelan jangka panjang dalam mengangkat agenda kelestarian, sekali gus melonjakkan profil dan pengiktirafan kepada pihak INFINITY.
- Kesemua ini adalah potensi-potensi yang mesti diterokai secara radikal dan proaktif.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Ketiga, kerjasama industri dan universiti mestilah turut mensasarkan manfaat dan pulangan jangka panjang.
- Saya difahamkan bahawa industri logistik adalah satu industri yang mempunyai saiz pasaran yang besar. Dianggarkan nilainya telah mencecah kira-kira 10.41 trilion Euro sehingga tahun 2022.
- Dan dianggarkan nilai global ini akan meningkat kepada 13.71 trilion menjelang tahun 2027.
- Dalam konteks Malaysia secara khususnya, saiz industri ini telah mencecah USD 36 bilion pada tahun 2020 lalu. Dan dalam tempoh 5 tahun lagi, pasaran logistik dianggarkan mampu mencecah nilai USD 54 bilion.
- Berdasarkan potensi ini, saya yakin banyak manfaat akan dapat diperoleh oleh semua pihak dalam pelbagai bentuk.
- Khususnya apabila kerjasama ini akan melibatkan 3000 orang penuntut dan 70 orang anggota akademik Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) ini sebagai penyelidik.
- Pendekatan ini sudah pastilah akan memberi direct exposure yang mencabar dan intensif kepada para pelajar dan penyelidik. Jadi, pendedahan ini tidak seharusnya terhad setakat tempoh pengajian sahaja.
- Jadi, saya harap, pihak INFINITY boleh mempertimbangkan untuk menyerap dan mengambil khidmat mereka dalam tempoh jangka panjang termasuklah selepas menamatkan pengajian.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Sekali lagi, saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pihak, Universiti Malaya dan Infinity Logistics and Transport Sdn Bhd atas kerjasama yang baik ini.
- Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kedua-dua pihak.
- Sekian, terima kasih.
Muat Turun:
pdf Majlis MOU di antara UM dan Infinity Logistics & Transport.pdf (93 KB)
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 9933