Hebahan

Maklumat hebahan terkini kementerian
  • Laman Utama
  • Hebahan
  • Teks Ucapan
  • Perutusan Perdana YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin Perdana Menteri Malaysia Sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2021

Perutusan Perdana YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd Yassin Perdana Menteri Malaysia Sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2021

PENDAHULUAN

  1. Terlebih dahulu saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan izin-Nya, kita semua dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan atau MPPK bagi tahun 2021 secara sidang video pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang dapat meluangkan masa untuk hadir pada hari ini.

  2. Sesungguhnya penganjuran mesyuarat secara norma baharu ini merupakan satu inisiatif oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa komited dalam memastikan segala aktiviti pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar dapat diteruskan walaupun kita dikekang oleh situasi pandemik ketika ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan atas kejayaan penganjuran Mesyuarat Perdana MPPK kali ini.

  3. Seperti mana yang dimaklumkan oleh Dr. Noraini Ahmad sebentar tadi, sesungguhnya MPPK ini amat dekat di hati saya. Saya pernah mempengerusikan mesyuarat yang sama seperti ini pada tahun 2015. Ketika itu saya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

MPPK: WACANA DUA HALA SOLUSI KEBAJIKAN PELAJAR

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Todd Deal dan Preston Yarborough dalam penulisan mereka berkenaan dengan Higher Education Student Leadership Development: 5 Keys To Success telah menggariskan lima (5) praktis utama pembangunan kepimpinan pelajar yang berimpak tinggi.

  2. Satu daripadanya ialah pengalaman kepimpinan yang bermakna dan relevan (atau relevant, meaningful leadership experiences). Menurut mereka, program kepimpinan pelajar yang paling berkesan dan memberikan impak ialah program yang memberikan ruang untuk para pelajar mempraktikkan pengetahuan tentang kepimpinan yang diperoleh secara formal daripada modul-modul pembelajaran di dalam kuliah ke dalam bentuk amalan. Ini boleh dilakukan dengan melibatkan pelajar dalam aktiviti yang berasaskan kepada persatuan, kesukarelawanan dan juga komuniti.

  3. Dalam erti kata lain, platform seumpama MPPK ini adalah sangat signifikan bagi membentuk legasi kepimpinan dalam kalangan pelajar seterusnya melahirkan pemimpin pelajar IPT yang berkualiti; berfikiran kritis; dan idealis. Hal ini demikian kerana pelajar, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merupakan aset dan modal insan negara yang paling berharga. Bukan sahaja dari aspek tenaga kerja serta kemahiran selepas bergraduan, tetapi juga dari aspek kognitif, iaitu sumbangan idea yang bernas untuk membantu dan bersama-sama dengan Kerajaan memacu pembangunan Negara.

  4. Justeru, saya amat menggalakkan agar peluang dan ruang yang ada dimanfaatkan oleh semua pihak yang terlibat. Saya percaya dengan komunikasi secara dua hala antara pelajar dan juga Kerajaan melalui forum MPPK, diperkukuhkan lagi dengan bakat kepimpinan yang dimiliki oleh para ahli MPPK, solusi terbaik bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan pelajar-pelajar IPT akan dapat dicapai.

  5. Saya masih ingat, dalam pertemuan dengan wakil MPPK pada 30 Jun 2020 yang lepas. Terdapat sebelas agenda yang berkait rapat dengan isu-isu kebajikan serta pemerkasaan pelajar IPT telah dibangkitkan untuk perhatian dan tindakan pihak Kerajaan.

  6. Saya percaya bahawa kesemua agenda tersebut telah pun diberikan perhatian dan diambil tindakan oleh pihak KPT dan insya Allah dalam mesyuarat pada hari ini, status semasa pelaksanaannya akan dikongsikan untuk makluman semua.

COVID-19 YANG MENCABAR KELAZIMAN  

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 telah memberikan kesan kepada kita dari pelbagai sudut. Dalam konteks pendidikan misalnya, kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) konvensional terpaksa diubah suai kepada PdP secara dalam talian bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan pelajar serta tenaga pengajar di samping mengelakkan berlakunya keciciran pelajar dalam menimba ilmu.

  2. Kredit harus diberikan kepada para pelajar yang berusaha untuk mencari alternatif untuk mengatasi masalah capaian internet dan peranti bagi mengikuti PdP secara norma baharu ini. Begitu juga dengan tenaga pengajar IPT kita yang sentiasa bertungkus-lumus menyediakan bahan PdP yang bersesuaian.

  3. Saya difahamkan atas dasar cakna kepada keperluan untuk mengikuti PdP secara dalam talian dengan berkesan, KPT telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan IPT untuk membantu para pelajar, terutamanya pelajar dari keluarga B40. Ini termasuklah memberikan Bantuan RM50 Secara One-off kepada 76,153 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta; Bantuan Pelan Data B40 dengan peruntukan sebanyak RM24 juta yang memanfaatkan 320,396 pelajar; dan Bantuan Peranti B40 bersasar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada 8,965 pelajar.

  4. Sesungguhnya, inisiatif-inisiatif ini merupakan satu manifestasi Kerajaan yang sentiasa prihatin dengan segala hasrat yang diutarakan oleh pelajar sekalian terutama sekali yang berkaitan dengan usaha memperkasakan mahasiswa.

VAKSINASI UNTUK KESEJAHTERAAN

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Pada masa kini, negara kita dalam proses fasa pertama pemberian vaksin yang dikhususkan kepada petugas barisan hadapan. Dijangkakan bermula April hadapan, fasa kedua pemberian vaksin kepada kakitangan penjaga kesihatan dan perkhidmatan penting yang lain serta warga emas berumur 65 tahun ke atas akan dilaksanakan. Ini seterusnya akan disusuli dengan fasa ketiga pada Mei 2021 yang mensasarkan sekurang-kurangnya 13.7 juta penduduk berumur 18 tahun ke atas menerima vaksin.

  2. Dalam erti kata lain, bagi fasa ketiga yang akan datang nanti, saudara-saudari merupakan sebahagian daripadanya. Maka, saya mengharapkan bahawa semuanya telah pun mendaftarkan diri untuk divaksin. Sesungguhnya, program vaksinasi ini merupakan antara usaha Kerajaan untuk menurunkan kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk. Oleh itu, saya mengharapkan saudara dan saudari selaku jurucakap kepada pelajar IPT, menguar-uakan manfaat program vaksinasi ini kepada mereka di luar sana jua.

MPPK MELAKAR KEPIMPINAN MASA HADAPAN

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Memetik kata-kata penulis Amerika tersohor, John C. Maxwell, “The best leaders are readers of people. They have the intuitive ability to understand others by discerning how they feel and recognizing what they sense.”

  2. Ungkapan ini begitu dekat dalam menggambarkan tentang saudara dan saudari yang merupakan ahli Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan. Saudara dan saudarilah suara kepada pelajar-pelajar IPT sekalian. Saudara dan saudari jugalah bakal pemimpin masa hadapan yang negara harapkan.

  3. Justeru, ruang dan kebebasan yang diberikan oleh Kerajaan untuk para pelajar menyampaikan segala permasalahan ataupun isu wajar disantuni sebaik mungkin mengikut saluran yang betul. Ia perlulah disulami tanggungjawab untuk meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional selain bersandarkan kepada kesopanan dan kesusilaan. Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat eksklusif mahasiswa tidak disalahgunakan. “Effective leadership is putting first things first. Effective management is discipline, carrying it out.”

  4. Tuntasnya, sesi pada hari ini merupakan satu medium yang signifikan untuk menyangkal dakwaan bahawa pelajar IPT yang sinonim dengan istilah “darah muda” sentiasa membuat keputusan terburu-buru. Sementelahan, medan ini ialah acuan yang akan membentuk pemimpin pelajar sekalian untuk membuat keputusan secara matang di samping membina keperibadian unggul.

PENUTUP

Saudara dan saudari sekalian,

  1. Saya berharap Mesyuarat Perdana MPPK pada tahun ini akan meneruskan tradisi mesyuarat-mesyuarat terdahulu dan mampu membentangkan hasrat-hasrat yang berupaya meningkatkan kesejahteraan pelajar IPT dan masyarakat secara keseluruhannya. Manfaatkan platform ini dan bermusyawarahlah secara matang, rasional serta beretika.

  2. Sesungguhnya kehadiran wakil dari pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan pada hari ini merupakan bukti komitmen dan sokongan Kerajaan dalam usaha memartabatkan peranan pelajar IPT melalui Mesyuarat Perdana MPPK. Insya Allah, semoga mesyuarat pada hari ini berlangsung dengan jayanya.

Sekian, wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Muat Turun

  1. document Teks Perutusan Perdana YB PM Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan 2021 (48 KB)
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 780
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Isnin 21 Jun 2021, 14:12:15.