Hebahan

Maklumat hebahan terkini kementerian
  • Laman Utama
  • Hebahan
  • Teks Ucapan
  • Teks Ucapan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021 – 2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi

Teks Ucapan YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021 – 2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi

PEMBUKA BICARA

  • Awal kalam, setinggi-tinggi pujian dan rasa syukur dirafakkan ke hadrat Allah S.W.T. yang telah melimpahkan taufik dan kurnia-Nya, sehingga kita semua diberikan kesempatan bersiaran secara maya pada hari ini, untuk bersama-sama menyaksikan Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2021 – 2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi.

  • Sesungguhnya, sesi pada hari ini memberikan makna yang sangat signifikan kepada usaha strategik Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendukung kelestarian agenda keusahawanan di IPT, serta ikhtiar untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan graduan IPT. KPT mensasarkan usahawan yang bakal dilahirkan kelak mempunyai nilai dan atribut keusahawanan yang jitu serta mampu berdaya tahan di pasaran global, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

LANDSKAP KEUSAHAWANAN GLOBAL: SATU TINJAUAN

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  • Dalam wacana mengenai kemajuan sesebuah negara, kita tidak dapat lari daripada membicarakan mengenai aspek keusahawanan. Ia menjadi pemangkin kepada peningkatan kadar per kapita pengeluaran, pendapatan, serta perkembangan ekonomi negara. Dalam konteks mikro, keusahawanan berupaya meningkatkan taraf hidup dan mencipta kekayaan, bukan hanya untuk pengusaha tetapi juga untuk perniagaan yang berkaitan.

  • Usaha melahirkan usahawan yang berjaya bukanlah suatu tugas yang mudah kerana ia memerlukan perancangan, komitmen, dan amalan yang berterusan ke arah mempraktikkan roh keusahawanan sehingga menjadi satu budaya dalam setiap urusan harian. Artikel bertajuk “Top Reasons Why Entrepreneurship Is Important” dalam The European Business Review ada menegaskan bahawa untuk memastikan keusahawanan menjadi tonggak kepada kemajuan ekonomi sesebuah negara, maka pembentukan pemikiran keusahawanan perlu dipupuk dan dibudayakan dalam kalangan rakyat sedari awal persekolahan lagi. Justeru, tidak hairanlah jika beberapa negara maju seperti Kanada dan Jerman ada mengaplikasikan dasar keusahawanan mereka dalam pelan tindakan inovasi dan strategi industri bermula di peringkat pengajian rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

  • Global Entrepreneurship Monitor 2019/2020 yang diterbitkan oleh The Global Entrepreneurship Institute, mencatatkan bahawa antara negara ASEAN yang berjaya membudayakan nilai keusahawanan dalam kalangan rakyat mereka ialah Thailand. Thailand mempunyai polisi khusus berkaitan keusahawanan dan program-program pembangunan keusahawanan yang dimulakan sejak di peringkat sekolah. Satu daripadanya ialah Thailand 4.0.

  • Di bawah inisiatif ini, Agensi Inovasi Kebangsaan (National Innovation Agency – NIA) secara aktif mempromosikan Thailand sebagai startup nation melalui penganjuran Startup Thailand, iaitu persidangan teknologi terbesar yang menggalakkan serta menyediakan platform kepada syarikat besar untuk melabur dalam syarikat pemula. Saya dapat makluman yang penganjuran program itu mendapat kerjasama menyeluruh dari semua pihak termasuklah agensi kerajaan yang lain, pihak swasta serta juga sektor pendidikan di negara itu. Kerajaan Thailand turut menetapkan dasar yang jelas agar Board of Investment bagi syarikat-syarikat besar membelanjakan sekurang-kurangnya 10 juta Baht atau USD 312 juta dari Competitiveness Fund ke atas komuniti startup. Ini selari dengan aspirasi Kerajaan Thailand itu untuk memposisikan negara tersebut sebagai hab startup di Asia pada tahun 2021.

  • Dalam konteks Malaysia pula, Kerajaan telah melancarkan Dasar Keusahawanan Nasional pada tahun 2019. Dasar ini merupakan manifestasi kesungguhan dan iltizam kerajaan untuk menterjemahkan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang tahun 2030. Dasar ini mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik, kondusif dan inklusif bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara, bermula dari peringkat akar umbi sehinggalah kesiagaan memperkukuh wibawa untuk bersaing di peringkat serantau dan antarabangsa.

DASAR PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI: SATU PERSPEKTIF

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

  • Peringkat pendidikan tinggi merupakan peringkat kritikal untuk mentransformasikan minda pelajar. Jadinya, sebagai kementerian yang menggalas amanah melangkaui keperluan akademik, KPT amat komited dalam mendukung hasrat Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berkemahiran tinggi dan bersemangat waja keusahawanan tulen. Hala tuju ini telah dimulakan sejak tahun 2010 melalui Dasar Pembangunan Keusahawanan IPT. Kesinambungan dasar ini diteruskan dengan perencanaan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan melalui Pelan Strategik Keusahawanan IPT 2013 – 2015 dan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016 – 2020.

  • Di bawah Lonjakan 1 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 – 2025 bagi Pendidikan Tinggi, iaitu “Graduan Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang”, penerapan nilai dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar merupakan fokus yang diberikan penekanan utama. Antara program yang digariskan termasuklah menerapkan budaya dan nilai-nilai keusahawanan ke dalam sistem pendidikan tinggi negara, serta menganjak minda pelajar IPT dari bermatlamatkan pencari kerja (job seeker) kepada pencipta pekerjaan (job creator) apabila mereka menamatkan pengajian.

  • Sebagai perkongsian, sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016 – 2020, seramai 49,983 pelajar telah direkodkan menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian mereka. Daripada jumlah tersebut, hanya seramai 7,148 atau 14.3 peratus graduan yang meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas tamat pengajian.

PELAN TINDAKAN KEUSAHAWANAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (IPT) 2021 – 2025: SATU PENEGASAN BAHARU

Warga maya yang saya hormati sekalian,

  • Berdasarkan statistik yang saya kongsikan tadi ditambah dengan impak pandemik COVID-19 yang menerjah ke pelosok dunia sekarang, maka adalah kritikal bahawa usaha pemerkasaan program keusahawanan dalam kalangan graduan semasa pengajian diberikan penekanan dan penegasan baharu. Maka, Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021 – 2025 yang bakal dilancarkan pada hari ini merupakan naratif baharu kepada program-program pembangunan keusahawanan di IPT. Ini bertepatan dengan satu daripada Fokus Strategik 2021 KPT seperti yang saya gariskan dalam Amanat Tahun Baharu, iaitu “Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan”. Naskhah ini melakarkan strategi-strategi dan pendekatan-pendekatan baharu secara lebih holistik dan mantap, dengan mengambil kira perkembangan senario global dan domestik, dan potensi peluang yang bakal wujud pada masa akan datang.

  • Suka saya nyatakan di sini bahawa pelan ini memfokuskan kepada tiga teras strategi, iaitu:

    • Memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik;
    • Memperkasakan jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi; dan
    • Menekankan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi.
  • Secara umumnya, kerangka strategi ini meraikan pembentukan ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan; akademik; industri; kerajaan dan komuniti dalam landskap sistem pendidikan tinggi negara. Selain itu, pelan ini turut menekankan elemen pengukuhan kolaborasi dalam bidang keusahawanan yang berimpak tinggi melibatkan pelbagai pihak yang strategik. Pemerkasaan elemen inovasi dan teknologi dalam keusahawanan turut diberi perhatian khusus selaras dengan perkembangan teknologi terkini seperti eCommerce, FinTech, big data, robotic engineering dan Internet of Things. Ini penting bagi memberikan nilai tambah kepada

Hadirin sekalian,

  • Pemerkasaan kurikulum keusahawanan di IPT merupakan antara fokus utama yang ditekankan dalam Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021 – 2025 ini. Bagi maksud itu, panduan pelaksanaannya diterjemahkan melalui buku Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi atau MOHE Guide to Entrepreneurship Integrated Education (EIE). Buku ini menekankan kepada enam (6) fokus utama pembangunan kurikulum program keusahawanan, iaitu:

    • Asas Pengetahuan Dalam Keusahawanan (Fundamental/Basic);
    • Pengetahuan Dalam Keusahawanan Lanjutan (Advanced);
    • Pengetahuan Dalam Bidang Perniagaan (Business Knowledge);
    • Aktiviti Tambahan Kurikulum Keusahawanan (Extra Curriculum);
    • Kemahiran Pembangunan Manusia (Human Development Skills); dan
    • Aperantis Keusahawanan (Entreprenuership Apprentice).
  • EIE diilhamkan berteraskan kepada semangat akan pentingnya saling hubung antara kurikulum dengan dunia perniagaan sebenar serta pembelajaran berasaskan masalah dan pengalaman. Selain itu, EIE turut menekankan kepentingan kurikulum yang berasaskan teknologi serta keperluan untuk memantapkan hubungan IPT-Industri-Komuniti dalam menyokong kejayaan agenda keusahawanan di IPT.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

  • Penghasilan kedua-dua dokumen yang saya nyatakan tadi hakikatnya telah melalui proses pengumpulan data dan input yang komprehensif serta menyeluruh melibatkan pelbagai lapisan pihak berkepentingan. InshaAllah, penghasilan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT dan EIE ini mampu mentransformasikan keusahawanan berasaskan keperluan kepada keusahawanan berasaskan peluang yang secara tidak langsung akan membantu mendorong ekonomi negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

KEJAYAAN USAHAWAN PELAJAR: SATU PENGKISAHAN

Hadirin yang saya kasihi,

  • Di ruang yang terbatas ini, suka saya kongsikan kejayaan beberapa usahawan pelajar yang dilahirkan oleh KPT yang boleh dijadikan contoh kepada graduan kita. Antaranya, Syarikat Charby Sdn. Bhd. yang ditubuhkan pada tahun 2017 diusahakan oleh tiga (3) orang alumni Universiti Teknologi Malaysia dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekatronik, iaitu Cheok Ming Jin, Chik Sheng Fei dan Lim Thol Yong. Dengan penghasilan produk Charby Sense yang merupakan kabel pemotong automatik paling pintar di dunia, syarikat ini berjaya menjana pendapatan USD100,000 melalui Indiegogo, sejenis platform crowdfunding berbanding sasaran awal mereka hanya USD7,000 sahaja. Antara produk lain syarikat ini ialah Charby Pico dan Charby Edge Pro.

  • Satu lagi contoh ialah Encik Muhammad Shazwan bin Ruslin, pemegang Sijil Hotel dan Katering, Kolej Komuniti Selayang dan Diploma Pengurusan Hotel dan Katering dari Politeknik Sultan Idris Shah. Beliau merupakan Pengarah Pembangunan Perniagaan bagi Sierah Heritage Holdings Sdn. Bhd.; Pengarah Halia Bara Sdn. Bhd.; dan Kayu Manis Enterprise. Tidak hanya dengan itu, Encik Muhammad Shazwan juga terkenal dengan rangkaian restoran dan produk minuman “Tuu... Dia Pak Tam”. Inilah sebahagian contoh yang seharusnya graduan kita jadikan teladan dan inspirasi untuk berjaya dalam perusahaan masing-masing.

PENUTUP BICARA

Tuan-tuan, puan-puan serta hadirin yang saya kasihi sekalian,

  • Saya berharap Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021 – 2025 dan EIE ini menjadikan perjalanan agenda keusahawanan di Kementerian lebih kemas dan terancang, selaras dengan aspirasi di peringkat nasional. Saya sedar bahawa untuk mencapai matlamat ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti memburu di padang yang datar. Namun, jika semua berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, saya percaya tiada yang mustahil untuk kita gapai.

  • Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih saya rakamkan khususnya kepada dua buah universiti yang turut bersama-sama dengan Kementerian sebagai penyelaras utama dalam penghasilan kedua-dua dokumen ini, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan. Begitu juga kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam membangunkan kedua-dua dokumen dasar ini, terima kasih atas komitmen dan usaha yang diberikan. Semoga naskhah ini menjadi panduan kepada semua warga Kementerian dan IPT, serta menjadi rujukan tuntas kepada semua pihak dalam melestarikan agenda keusahawanan di IPT.

  • Akhir kata, dengan lafaz yang mulia, bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021 – 2025 dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi – EIE.

Sekian.

Wabillahitaufik Walhidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima kasih.

Muat Turun

  1. pdf Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 (format .pdf) (372 KB)
  2. document Teks Ucapan YBM Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 (format .doc) (118 KB)
  3. pdf Slaid Ucapan YBM Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021 2025 (6.56 MB)
  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 970
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Isnin 21 Jun 2021, 14:12:15.