logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI PENDIDIKAN TINGGI

MAJLIS ANUGERAH GEMILANG PELAJAR POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI (POLYCC)
TAHUN 2023

15 FEBRUARI 2024

 

Terima kasih saudara/ saudari pengacara majlis. Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

PEMBUKA BICARA

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin sekalian,

1. Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama berada dalam Majlis Anugerah Gemilang Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Tahun 2023.

2. Terima kasih saya ucapkan kepada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) selaku pihak penganjur atas undangan untuk saya menyempurnakan majlis pada malam ini.

3. Saya turut difahamkan penganjuran majlis anugerah ini adalah kali ke-2 diadakan dengan objektif memberi pengiktirafan kepada mahasiswa POLYCC yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam aktiviti pembangunan sahsiah. Tahniah kepada JPPKK atas penganjuran dan pengiktirafan yang dilakukan untuk para pelajar ini.

4. Ini juga adalah selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melahirkan graduan yang holistik, berkualiti, berkemahiran dan seimbang.

5. Saya amat berbangga dan berbesar hati berada di hadapan kumpulan pelajar POLYCC seluruh Malaysia yang tercalon dan akan diangkat sebagai penerima prestasi cemerlang dalam anugerah malam ini dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum sebentar lagi.

6. Pengiktirafan malam ini diharap mampu menyuntik semangat dan menjadi inspirasi untuk para pelajar terus mencipta lebih banyak kejayaan serta menyumbang kepada kemanfaatan negara di samping penyerlahan potensi diri.

55 TAHUN USIA POLITEKNIK, 23 TAHUN USIA KOLEJ KOMUNITI

Hadirin dan para pelajar yang saya raikan sekalian,

7. Jika kita perhatikan penubuhan politeknik bermula pada tahun 1969 dan penubuhan kolej komuniti bermula pada tahun 2001 dan sehingga ke hari ini kedua-dua platform ini masih kekal relevan dalam sistem pendidikan tinggi negara.

8. Hari ini kita bangga mengatakan bahawa 36 buah politeknik dan 105 buah kolej komuniti adalah jenama POLYCC yang akan terus berkembang sebagai institusi Pendidikan terbaik negara.

9. Mengenjak ke usia 55 tahun penubuhan, data sehingga 30 September 2023 menunjukkan sebanyak 694,077 graduan telah dilahirkan oleh politeknik dan kebanyakan mereka telah pun bertebaran berada di pelbagai industri sama ada dalam mahupun luar negara.

10. Bagi Kolej Komuniti, 132,093 graduan telah berjaya dihasilkan dalam pelbagai bidang sejak hampir 23 tahun ia ditubuhkan.

11. Statistik ini menunjukkan keberkesanan dan kejayaan program POLYCC dalam menghasilkan tenaga kerja mahir yang berpengetahuan, berkemahiran serta memenuhi permintaan pasaran kerja industri terkini.

12. Dalam laporan lain, kita juga berbangga dengan peratusan kebolehpasaran graduan di politeknik yang mencapai hampir 96.3 peratus dan graduan kolej komuniti mencapai 97.1 peratus.

13. Angka ini jelas membuktikan bahawa graduan yang lahir dari POLYCC bukan kaleng-kaleng dan hampir kesemua mereka mendapat pekerjaan selepas tamat belajar termasuklah ada yang menjadi usahawan.

CABARAN DAN PERANCANGAN MASA DEPAN POLYCC

Hadirin sekalian,

14. Perubahan dinamika industri termasuklah kepesatan teknologi yang memungkinkan beberapa perubahan dalam sistem pendidikan negara yang terpaksa akur dan menurut kepada perkembangan perubahan ini.

15. Hal ini turut mendorong kepada anjakan bidang POLYCC yang mana politeknik berubah sebagai institusi peneraju dalam bidang TVET, begitu juga dengan kolej komuniti.

16. Jika 10 atau 20 tahun yang lalu, mungkin ramai menganggap politeknik dan kolej komuniti adalah pilihan kedua, ketiga mahupun terakhir.

17. Namun hari ini, persepsi ini sedikit sebanyak telah pun berubah seraya melihat kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh POLYCC serta keupayaan menawarkan program berimpak tinggi menjadi perhatian.

18. Kita tidak harus selesa berada di kepompong lama, malah semua pihak harus proaktif dan memaksimakan usaha ke arah memperbaiki diri sekaligus memberi nilai tambah terhadap pelbagai aspek untuk terus memperkasa TVET di peringkat nasional dan antarabangsa.

19. Menyahut seranan YAB Perdana Menteri, bidang kecerdasan buatan (AI) telah menjadi salah satu inovasi teknologi yang paling ketara pada abad ke-21. Teknologi ini tidak hanya mempengaruhi pelbagai sektor industri, tetapi juga berpotensi besar untuk mengubah dan memperbaiki sistem pendidikan di negara di seluruh dunia.

20. Beberapa institusi pendidikan tinggi di luar negara telah mula meneroka dan adaptasi AI dalam sistem pendidikan mereka termasuklah Politeknik Temasek di Singapura.

21. Jika dulu kita pernah menidakkan penggunaan telefon bimbit, komputer dan internet, namun hari ini kita akan buntu jika semua ini tiada.

22. Begitu juga dengan AI, jika kita tidak mulakan sekarang, maka kita akan ketinggalan untuk beberapa tahun akan datang.

23. Jika di peringkat IPTA kita telah mulakan fakulti AI pertama dalam negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), maka di peringkat politeknik dan kolej komuniti, saya menggesa JPPKK melalui Institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya menyediakan pengajaran khusus dalam teknologi baharu AI ini di mana-mana politeknik atau kolej komuniti terpilih.

24. Langkah ini juga selari dengan Landasan Hala Tuju KPT 2024 yang saya sampaikan di Universiti Malaya tempoh hari.

25. Pengukuhan dan pemerkasaan TVET dan work-based Learning. Proses pendidikan dan latihan TVET ini harus memberi penekanan utama terhadap amalan industri terbaik yang kompeten, tidak jumud, dan sesuai dengan perkembangan kepesatan semasa industri.

26. Di sini, peranan dan tanggungjawab besar politeknik serta kolej komuniti dalam melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi sangat diperlukan.

27. Pendekatan “whole-of-nation approach”, khasnya melibatkan guna sama kepakaran dan perkongsian platform antara kementerian dan agensi kerajaan sangat memberi manfaat kepada kesemua pihak

28. Dalam hal ini, proses Reskilling and Upskilling Pekerja Industri akan diperluas bagi meningkatkan kemahiran serta kompetensi graduan bekerja dalam industri.

HARAPAN DAN PENUTUP

Hadirin sekalian,

29. Besarlah harapan saya agar politeknik dan kolej komuniti bukan hanya berperanan sebagai institusi pembelajaran TVET, namun berupaya menjadi pusat perkembangan ilmu dan ketamadunan yang melahirkan modal insan unggul sekaligus melahirkan modal insan terbaik negara.

30. Saya difahamkan sebanyak 19 anugerah akan disampaikan pada malam ini. Kepada mereka yang berjaya merangkul anugerah, sekalung tahniah diucapkan.

31. Kepada yang dicalonkan tetapi tidak berjaya malam ini, jangan berputus asa kerana ini bukan pengakhiran tetapi anggap sebagai permulaan untuk melangkah lebih baik.

32. Kuasa dan hikmah Allah SWT yang kita tidak pernah tahu dan menjangka. Seperti saya, takdir Allah menentukan saya tidak menang dalam PRU yang lalu. Namun dengan hikmah kuasa Allah, Alhamdulillah saya bersama-sama dengan tuan-puan hari ini.

33. (Surah Ali-Imran-ayat 54). Kita merancang, Allah merancang, perancangan Allah lebih baik.

34. Kepada pelajar-pelajar di hadapan saya ini, teruslah berusaha mencipta lebih banyak kejayaan, memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

35. “Seorang mukmin itu adalah orang yang bisa menerima dan diterima orang lain, dan tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak bisa menerima dan tidak bisa diterima orang lain. Dan sebaik- baiknya manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lainnya." (HR Thabrani).

36. Sekali lagi tahniah dan terima kasih kepada semua pihak termasuk warga JPPKK, tenaga pengajar, ibu bapa dan para pelajar yang berusaha memastikan Pendidikan POLYCC di bawah KPT terus berkembang maju dan menjadi salah satu pilihan untuk meneruskan pembelajaran di peringkat tinggi.

37. Dayung perahu tuju haluan,
Membawa tepung bersama rempah;
Kalau ilmu tidak diamalkan,
Ibarat pokok tidak berbuah.

38. Sekian, saya sudahi dengan wabillahi taufik wal- hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Muat Turun:

  pdf Teks Ucapan - YB Menteri Majlis Anugerah Gemilang Pelajar POLYCC 2023 (239 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5739
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.