KPT - Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Pelancaran Festival of Ideas 2021

Teks Ucapan YBM Sempena Majlis Pelancaran Festival of Ideas 2021

logo kpt black

TEKS UCAPAN

YB DATUK SERI DR. NORAINI AHMAD
MENTERI PENGAJIAN TINGGI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN FESTIVAL OF IDEAS 2021

31 MEI 2021 (ISNIN)

ANJURAN

BAHAGIAN KOLABORASI INDUSTRI DAN MASYARAKAT
JABATAN PENDIDIKAN TINGGI


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terima kasih kepada Pengacara Majlis.

SALUTASI

Yang Berhormat Dato’ Mansor Haji Othman,
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berusaha Dr. Mohd Zabri Yusoff,
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Datuk Rosli Yaakub,
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Kementerian Pengajian Tinggi;

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Hussaini Omar,
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi;

Yang Berusaha Ts. Zainab Ahmad,
Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti;

Naib-naib Canselor Universiti Awam dan Swasta

Pegawai-pegawai kanan kementerian, rakan-rakan industri, ketua-ketua agensi, para mahasiswa dan sidang hadirin sekalian.

PEMBUKA BICARA

  1. Alhamdulillah dengan izin-Nya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Pelancaran Program Festival of Ideas bagi tahun 2021 hari ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur, atas usaha yang ditunjukkan sehingga majlis pada hari ini dapat jua akhirnya dilaksanakan. Sesungguhnya iltizam untuk menyahut cabaran yang saya lontarkan dalam ucapan amanat saya pada awal tahun tempoh hari membuktikan komitmen semua dalam upaya untuk mengangkat martabat sektor pendidikan tinggi ke satu tanda aras yang lebih gemilang.

IDEA DAN INOVASI UNTUK KESEJAHTERAAN

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

  1. Apabila memperkatakan tentang idea, ia mengingatkan saya kepada kisah seorang remaja genius dari Afrika bernama William Kamkwamba yang berjaya membina kincir angin untuk membekalkan tenaga elektrik di kampungnya – Dowa, Malawi. Pada masa itu, iaitu sekitar tahun 2001, Malawi dilanda masalah kelaparan yang sangat teruk dan William menyaksikan ladang ayahnya mula dilanda kekeringan. William terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah kewangan keluarga, namun ia tidak menghalang beliau untuk mencari ilmu. William sentiasa melawat perpustakaan di kampungnya dan di atas kesungguhannya itu telah mengubah kehidupan keluarganya dan masyarakat. Beliau mendapat idea untuk membina kincir angin daripada motor radio, basikal yang telah rosak, bilah kipas traktor, absorber lama dan pokok gum biru bagi menghasilkan tenaga untuk kegunaan di kampungnya.

  2. Bermula dengan kejayaan menyalakan empat mentol lampu dan mengecaj telefon jirannya dan seterusnya mengepam air bagi sistem pengairan di ladang milik ayahnya, projek William terus diperkembangkan untuk tujuan projek-projek komuniti di kampungnya termasuklah pembekalan air bersih, pencegahan malaria dan penjanaan tenaga solar.

  3. Dan kini, William bekerja di WiderNEt, salah satu daripada syarikat global yang bertanggungjawab dalam meningkatkan pendidikan dan komunikasi digital seluruh dunia. Di sini, William terlibat dalam pembangunan kurikulum teknologi yang bersesuaian bagi membolehkan orang ramai menghapuskan jurang antara “mengetahui” dan “melakukan”.

  4. Apa yang cuba saya sampaikan di sini adalah bagaimana sebuah idea yang baik telah membawa kepada inovasi dan perubahan yang besar kepada kehidupan masyarakat sekiranya dimanfaatkan. Di negara luar, program-program meraikan gagasan idea mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat setempat.

  5. The York Festival of Ideas dan The Royal Academy Festival of Ideas di United Kingdom; Adelaide Festival of Ideas di Australia; serta Festival of Ideas di National University of Singapore merupakan antara program seumpamanya yang telah menunjukkan kesan positif kepada masyarakat.

  6. Misalnya, penganjuran The York Festival of Ideas yang bermula sejak tahun 2011 saban tahun telah berupaya menarik sehingga lebih 30,000 orang dan penyertaan lebih 100 organisasi tempatan dan antarabangsa. Pada tahun 2020 yang lepas, festival ini membuka lembaran baharu penganjurannya menggunakan horizon virtual yang menyaksikan 97 buah program dalam talian, penuh inspirasi dilaksanakan. Kaedah penganjuran secara dalam talian ini telah memberikan impak yang besar kepada residen di bandar itu melalui galakan penggunaan teknologi secara optimum ketika krisis pandemik COVID-19 melanda.

  7. Di Malaysia sendiri kita mempunyai ramai rakyat yang sangat kreatif serta berdaya inovasi yang tinggi. Bukan omongan kosong tapi telah terbukti dengan pencapaian Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Indeks – GII) yang dikeluarkan secara bersama oleh Cornell University, INSEAD dan World Intelect Property Organisation – WIPO.

  8. GII merupakan kaedah penandaarasan global bagi eksekutif perniagaan serta penggubal dasar untuk mendapatkan perkembangan mengenai tahap inovasi di seluruh dunia. Dan pada tahun 2020, negara kita telah menduduki tempat ke-33 dalam ranking GII berbanding tangga ke-35 pada tahun 2019. Satu peningkatan yang amat memberangsangkan tatkala dunia dilanda badai COVID-19.

  9. Mengambil contoh konteks sektor pengajian tinggi pula, terdapat lebih daripada 115 produk inovasi serta 27 sistem aplikasi pengurusan COVID-19 telah berjaya dihasilkan oleh institusi-institusi pendidikan tinggi kita. Semestinya, inovasi yang tercetus daripada idea-idea yang bernas ini banyak memberikan manfaat kepada rakyat.

FESTIVAL OF IDEAS KPT 2021

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Menjejaki langkah meraikan idea dan kreativiti ini serta memanfaatkan sektor pendidikan tinggi sebagai input inovasi, KPT dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menganjurkan Festival of Ideas 2021. Malah, mengambil pendekatan di luar praktis konvensional dan selaras dengan situasi semasa sekarang ini, penganjuran festival yang buat julung kalinya diadakan ini adalah berfalsafahkan perkongsian ilmu dalam satu platform digital. Saya difahamkan medium ini nanti akan dipenuhi dengan kompilasi pembentangan kertas secara berkala termasuklah idea baharu, penyelesaian masalah dan pemantapan nilai dalam kalangan pemikir tempatan pelbagai latar belakang.

  2. Terdapat empat objektif utama penganjuran festival ini. Pertamanya adalah untuk membolehkan perkongsian dan penjanaan idea baharu yang berpotensi untuk digarap lanjut melalui keterlibatan pelbagai pihak. Dengan itu, sesuatu idea yang dilontarkan misalnya dalam menambah baik ekosistem pendidikan tinggi negara tidak dilihat daripada satu sudut pandangan sahaja. Ini penting kerana sesuatu idea yang baik merupakan idea yang bersifat holistik serta menekankan faedah kepada pemegang taruh yang utama.

  3. Objektif kedua adalah untuk menghubungkan jaringan kerjasama antara pihak kerajaan, para akademik, rakan industri dan masyarakat. Kita semua sedia maklum bahawa kesemua entiti ini adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Sebagai pihak yang menyediakan modal insan kepada sektor industri, adalah penting untuk kita melengkapkan pelajar-pelajar kita dengan ciri-ciri modal insan yang diperlukan oleh industri. Jadinya, jaringan kerjasama yang terjalin hendaklah diperkukuhkan dan perlu ada komunikasi dua hala.

  4. Yang ketiga, festival ini bertujuan untuk menyediakan platform dan ruang kepada pelajar dan masyarakat memikirkan penyelesaian masalah serta isu hasil perkongsian pakar dari universiti dan institusi pendidikan tinggi. Melalui pendekatan ini, kerjasama antara pihak Kerajaan, para akademik, rakan industri dan masyarakat dapat disemarakkan dalam membentuk dan mendidik generasi yang mempunyai pemikiran kritis serta berkemahiran menyelesaikan masalah.

  5. Dan objektif keempat, festival seumpama ini mencipta peluang bagi menggerakkan masyarakat ke arah kualiti hidup yang lebih tinggi dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Everything begins with an idea.

  6. Cetusan idea menciptakan sistem pengiriman udara dan darat oleh Fred Smith, pengasas FedEx, pada tahun 1971, menjadi titik tolak kepada terbentuknya syarikat-syarikat penghantaran barang yang banyak pada hari ini seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Dan kita mungkin tidak akan dapat merasa ayam goreng dengan 11 rempah rahsia jika pada tahun 1952, Harland Sanders, pengasas Kentucky Fried Chicken tidak mencari pengusaha yang mahu menggunakan resipi ayam gorengnya untuk dijual di restoran mereka. Semua bermula dengan idea.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

  1. Satu laman web Festival of Ideas 2021 yang mengandungi kompilasi idea telah dibangunkan. Laman web ini bakal menyaksikan perkongsian berkenaan dengan penyelidikan berasaskan pemasalahan semasa, dan penghasilan produk kandungan kreatif tempatan.

  2. Terdapat enam segmen utama yang boleh diakses, iaitu Malim Sarjana, Inovasi, Pameran Maya, Forum Maya, Mentor, dan Resensi Karya. Kesemua segmen ini akan disalurkan dalam laman web Festival of Ideas 2021 pada setiap minggu termasuklah hebahan melalui sosial media rasmi KPT, universiti dan institusi pengajian tinggi yang terlibat, serta sosial media rasmi program Festival of Ideas 2021.

  3. Jadinya, saya amat berharap agar perkongsian pintar dalam laman web ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak. Dan apa yang lebih penting, setiap idea yang diketengahkan dapat diteliti lanjut untuk diaplikasikan bagi memberikan keberhasilan kepada institusi dan masyarakat keseluruhannya. Menjadi harapan saya juga agar program Festival of Ideas 2021 ini disambut dengan tangan terbuka oleh semua pengurusan universiti bagi memastikan idea yang dikongsi oleh pelbagai pihak dan lapisan masyarakat dapat dilaksanakan.

  4. Melalui program ini juga, diharapkan pelajar dan masyarakat dapat menyambar dengan bijaksana peluang dan ruang yang disediakan demi meningkatkan pembangunan diri pelajar dan memperkukuh ilmu dalam kalangan masyarakat.

  5. Apatah lagi apabila program ini turut mendapat sokongan para akademik dan pakar dari industri. Semoga ia juga dapat menjadi wadah kepada penyelesaian isu dalam komuniti.

  6. Dalam hal ini, Pihak KPT melalui Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT (BKPI), berusaha menyediakan pelbagai skim dan dana penyelidikan kepada semua ahli akademik dan penyelidik setiap tahun. Pihak KPT mengalu-alukan permohonan geran penyelidikan berteraskan pemasalahan dan isu semasa kesan daripada pandemik ini. Kami menggalakkan penyelidikan berteraskan sains, teknologi dan sains sosial dalam membantu masyarakat yang terjejas akibat wabak COVID-19 ini.

  7. Bagi merealisasikan hasrat ini, KPT telah menawarkan Skim Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 di awal penularan wabak ini bagi membantu kerajaan merangka polisi atau dasar dalam mendepani scenario pandemik COVID-19. Keseluruhan sebanyak 25 projek yang telah terpilih untuk menerima geran ini yang merangkumi 5 bidang tujahan utama iaitu bidang Pendidikan & Pendidikan Tinggi, Tenaga, Sains Kesihatan & Perubatan, Pengangkutan Awam dan Perusahaan Kecil & Sederhana (SME). 25 Projek di bawah Skim Geran Penyelidikan Khas Pasca COVID-19 ini juga telah dilaksanakan bermula pada 1 Ogos 2020 dan tamat pada 31 Januari 2021 iaitu selama 6 bulan.

  8. Selain itu, KPT turut menawarkan pelbagai geran penyelidikan di antaranya Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Skim Geran Penyelidikan Prototaip (PRGS), Skim Geran Penyelidikan Transdisiplinari (TRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS), Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP), Newton-Ungku Omar Fund dan Malaysia-France Bilateral Research Collaboration Grant (MATCH). Terkini, menerusi penawaran Skim Geran Jangka Panjang – Jejak Sarjana Ulung KPT berhasrat dapat melahirkan sarjana ulung melalui ‘breakthrough research’ beracuan Malaysia dalam bidang fokus tertentu termasuk pengetahuan dan penemuan sains terkehadapan.

  9. Menerusi beberapa insentif, kemudahan dan program yang dilaksanakan oleh pihak KPT, diharapkan fokus utama penyelidikan yang berkaitan dengan pendemik Covid-19 dapat direalisasikan menerusi kolaborasi akademik bersama industri di Malaysia.

  10. Negara memerlukan lebih banyak penyelidikan yang berkaitan dengan pandemik ini yang boleh dikongsi bersama dengan masyarakat. Perkongsian ini turut melibatkan analisis data yang lebih terperinci untuk memahami dengan lebih baik kaedah menangani pandemik. Ini termasuklah memberi pendedahan dan pendidikan melalui teknologi dalam menangani kehidupan norma baharu.

  11. Setiap geran penyelidikan yang ditawarkan oleh KPT hendaklah menghasilkan modal insan yang terdiri daripada pelajar yang mengikuti program sarjana dan pengajian doktor falsafah yang aktif di universiti terpilih. Modal insan merupakan pelaburan terpenting bagi pembangunan sesebuah negara dan menjadi teras kepada inovasi dan ekonomi berpendapatan tinggi yang produktif.

  12. KPT akur bahawa pembangunan modal insan bertaraf dunia di Malaysia memerlukan usaha yang komprehensif dan bersepadu daripada sektor awam dan swasta serta masyarakat Segala idea, usaha dan keringat pelajar-pelajar ini akan dijaga dan diurus dengan baik melalui pelindungan idea dan harta intelek termasuklah pengurusan laporan tesis pelajar.

  13. Selain itu, pihak Universiti awam (UA) turut mempunyai Garis Panduan ataupun Dasar Harta Intelek bagi melindungi semua harta Intelek yang direka cipta, dibangun atau dihasilkan menggunakan kepakaran staf, kemudahan, bahan, dana, atau sumber lain termasuk tesis dan semua hasil penyelidikan ditulis oleh pelajar. Secara tidak langsung, garis panduan ataupun dasar ini boleh melindungi dan memelihara hasil cipta para pelajar.

AKHIR KALAM

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjadikan aspirasi ini satu kenyataan. Terima kasih juga kepada Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat KPT, UPSI dan UTM yang menjadi peneraju utama dalam menjayakan Majlis Pra-Pelancaran Program Festival of Ideas bagi tahun 2021.

Dengan lafaz Bismillahirraḥmanirraḥīm, saya dengan ini merasmikan Program Festival of Ideas 2021.

Sekian, Wabilahi Taufik Wal Hidayah, Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakathuh.

Muat Turun

pdf Teks Ucapan YBM - Festival of Ideas (417 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2226

Logo KPT
Portal Rasmi Kementerian Pengajian Tinggi © Hak Cipta Terpelihara
Kemaskini terakhir: Selasa 26 Oktober 2021, 09:14:30.