KPT Saran IPT Bantu Masyarakat Depani Isu Setempat

KPT Saran IPT Bantu Masyarakat Depani Isu Setempat
English translation not available for this content.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan agar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa 'turun padang' membantu masyarakat untuk menyelesaikan isu setempat.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, berbekalkan ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada, IPT harus bergerak mencari jalan bagi memastikan masyarakat menjadi semakin baik sekaligus mampu meningkatkan keterlihatan peranan dan sumbangan IPT.

"Saya tekankan iaitu memang sesuatu yang sangat diharapkan oleh kementerian supaya setiap universiti dalam negara termasuk UPM akan meneruskan libat urus dengan masyarakat ini melalui program 'outreach'.

"Ilmu yang didapati daripada penyelidik harus diaplikasikan oleh masyarakat," katanya ketika berucap semasa melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), di Kota Tinggi pagi tadi.

Antara perkara yang didepani ketika ini jelasnya termasuk isu keterjaminan makanan yang menuntut kepakaran dan penyelidikan pakar-pakar di IPT bagi menyelesaikan isu seperti pertanian serta perladangan.

Jelas YB Dato' Seri Mohamed Khaled, dengan penyelesaian isu berkenaan, ia mampu meningkatkan produksi dan pengeluaran hasil serta menjana pendapatan lebih kepada komuniti.

Beliau turut berharap agar Kota Tinggi akan menjadi makmal lapangan atau salah satu stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bagi melestarikan usaha ini.

"Saya rasa perlu untuk kita hubungkan masyarakat Kota tinggi yang sebahagian besarnya menjayakan aktiviti pertanian dan penternakan.

"Kita merasakan bahawa ini satu pendekatan yang terbaik dalam usaha kita membangun dan memajukan komuniti Kota Tinggi," katanya.

Beliau juga mahu ilmu dan kepakaran yang ada perlu disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan oleh masyarakat.

YB Menteri juga berharap agar program-program yang disusun bersifat menyentuh dan menguruskan keperluan setempat, yang mampu memberi hasil kepada masyarakat serta harus bersifat jangka panjang dan berterusan.

  • Last updated on .
  • Hits: 3543
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Friday 12 July 2024, 03:02:21.