Pengukuhan Budaya Membaca Bantu Generasi Muda Kini Jadi Pemimpin Berkaliber

Pengukuhan Budaya Membaca Bantu Generasi Muda Kini Jadi Pemimpin Berkaliber
English translation not available for this content.

Generasi muda sekarang diseru untuk menimba banyak ilmu melalui pengukuhan budaya membaca kerana melaluinya para pemimpin masa depan yang bercirikan wibawa, berpengetahuan dan bersahsiah tinggi dapat dilahirkan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud menegaskan demikian ketika berdialog bersama para perwakilan pelajar di Majlis Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @UiTM Sabah di sini petang tadi.

Selain itu, beliau turut berkongsi pengalamannya ketika menjadi pemimpin mahasiswa suatu masa dahulu melalui 'A to Z Leadership' yang mana setiap pemimpin dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) perlu melalui semua anak tangga kerenyahan dan cabaran.

Ia merangkumi urusan pengkeranian, pentadbiran, kewangan, turun padang, kesukarelawanan dan pelbagai lagi demi tujuan mematangkan mereka dalam menangani isu, masyarakat dan pihak berkuasa apabila menjadi pimpinan organisasi masing-masing kelak.

Pada majlis tersebut, kira-kira 50 orang wakil MPP hadir secara fizikal dan atas talian untuk berdialog dan seterusnya berbuka puasa bersama YB Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

Beliau turut menyumbangkan sejumlah RM20 ribu kepada Dapur HEP UiTM cawangan Sabah untuk dimanfaatkan bagi membeli perkakasan dan bahan mentah sebagai kegunaan para pelajar B40 yang memerlukan di situ.

YB Datuk Ts. Mustapha turut menyampaikan sumbangan kepada para asnaf pelajar termasuklah daripada Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan Politeknik Kota Kinabalu.

Sebelum bersurai, beliau mengingatkan para pelajar bahawa "cabaran kita memang besar, jadi kita tidak boleh selesa... Kita kena menyumbang kepada negeri ini, dan juga negara kita... Supaya fenomena 'brain drain' tidak akan berlaku apabila Nusantara (ibu kota baharu, Indonesia) dibuka kelak". 

  • Last updated on .
  • Hits: 560
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Tuesday 30 April 2024, 23:06:49.