English translation not available for this content.
logo kpt black

SIARAN MEDIA

GHEF 2023 ANGKAT ISU EKOSISTEM PENDIDIKAN TINGGI DAN PEMULIHAN PASCA PANDEMIK


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menganjurkan Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 (Global Higher Education Forum 2023 [GHEF2023]) sebagai platform untuk pelbagai pihak berkepentingan membincangkan isu-isu yang dihadapi ekosistem pendidikan tinggi, menggalakkan wacana mengenai pendidikan tinggi, menangani cabaran yang berkaitan, membangunkan penyelesaian yang berpotensi dan cadangan dasar.

Forum yang berlangsung dari 15 hingga 17 November 2023 di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA dengan melibatkan penyertaan hampir 1,000 perwakilan daripada 17 negara ini menyediakan ruang untuk mempertimbangkan konsep, pengalaman, amalan, pertukaran pengetahuan dan penemuan penyelidikan mengenai pelbagai isu dalam pendidikan tinggi dari pelbagai negara, konteks, dan perspektif.

Mengangkat tema 'Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik', ia memberi fokus kepada usaha memajukan dan memelihara kesaksamaan dalam sektor pendidikan tinggi, terutamanya dalam era pasca pandemik COVID-19.

Tema dipilih berikutan kesan domino pandemik COVID-19 terhadap ekosistem pendidikan tinggi nasional dan global, yang dikhuatiri telah melebarkan jurang akses, sumber dan peluang pembelajaran, terutama bagi pelajar daripada kumpulan terpinggir seperti orang kelainan upaya (OKU), orang asli dan latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Para delegasi terdiri daripada ahli akademik, penyelidik, sarjana muda (pelajar pasca siswazah), pegawai kerajaan, pembuat dasar, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri dari institusi tempatan dan antarabangsa.

Antara pengisian forum termasuk menampilkan 15 penceramah pakar tempatan dan antarabangsa dan empat sesi perbincangan pakar yang memberi tumpuan kepada sub-tema yang berkaitan tema forum: jurang digital, pekerjaan dan pembangunan bakat, dan kemajuan dasar sosio-ekonomi dan pendidikan tinggi.

Turut bakal berlangsung adalah Memorandum Persefahaman (MoU), Simposium Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan satu perjanjian mercu tanda ‘Joint Action Roadmap’ (JAR) akan ditandatangani antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pusat Penyelidikan Pembangunan Pendidikan Tinggi (CHEDR) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Uzbekistan.

Sejak penubuhannya pada 2007, GHEF yang memasuki kali ke-8 penganjurannya ini dianjurkan KPT secara dwitahunan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia. Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) memainkan peranan penting sebagai sekretariat bagi GHEF.

Kementerian Pendidikan Tinggi
15 November 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media KPT Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 GHEF.pdf (82 KB)

  • Last updated on .
  • Hits: 7848
MoHE Logo

Ministry of Higher Education Official Portal © All Rights Reserved

Last Modified: Monday 29 April 2024, 11:06:20.