logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

BELANJAWAN 2024 :
MEMACU KECEMERLANGAN PENDIDIKAN TINGGI NEGARA


Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ merupakan suatu penyataan iltizam kerajaan bagi memulihkan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memanfaatkan peruntukan Belanjawan 2024 berjumlah RM16,339,467,900 yang meliputi RM12,212,788,400 bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM4,126,679,500 bagi Perbelanjaan Pembangunan untuk meneruskan Agenda Ekonomi MADANI KPT. Peningkatan keseluruhan peruntukan KPT sebanyak 6.8 peratus berbanding tahun 2023 menggambarkan peranan penting KPT sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat melalui bidang pendidikan tinggi.

Dalam memacu kecemerlangan pendidikan tinggi, KPT akan melaksanakan inisiatif- inisiatif Belanjawan 2024 seperti berikut:

  1. Menyelenggara dan membaiki prasarana di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta menggantikan peralatan lama yang usang dengan peruntukan sebanyak RM300 juta. Ini termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat (4) rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
  1. Pelaksanaan Projek Pembangunan baharu Hospital Pengajar Universiti (HPU) meliputi:
    1. Kompleks Hospital Pengajar Universiti (HPU) Sains Islam Malaysia (USIM) Fasa 1 di Kota Tinggi, Johor dengan kos RM938 juta; dan
    2. Bangunan tambahan Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.
  1. Menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam dengan peruntukan RM100 juta. Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan melibatkan pendidikan TVET berjumlah RM6.8 bilion.
  1. Melaksanakan Program Tahfiz TVET bagi membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan dengan peruntukan RM17 juta.
  1. Meneruskan agenda pendigitalan pendidikan tinggi dengan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk menggantikan dan meluaskan capaian Wi-Fi di semua Universiti Awam (UA). Ini termasuk RM5 juta untuk melaksanakan projek pendigitalan Hospital Pengajar Universiti (HPU).
  1. Merakyatkan ilmu kepada komuniti rentan seperti OKU, Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas melalui peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pelaksanaan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di 105 buah Kolej Komuniti. Inisiatif ini dijangka memanfaatkan 5,000 komuniti tumpuan.
  1. Memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Universiti Awam (UA) untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
  1. Menubuhkan pusat pendidikan kecerdasan buatan (AI) pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta.
  1. Memberikan diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar berikut:
    1. Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman;
    2. Diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran; dan
    3. Diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
  1. Memperkasakan penyelidikan dan inovasi pelbagai bidang melalui dana Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) sebanyak RM510 juta kepada KPT dan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI). Antaranya, RM50 juta dikhususkan sebagai geran padanan untuk Universiti Awam (UA) bekerjasama dengan sektor swasta dalam merancakkan aktiviti penyelidikan dan inovasi yang boleh dikomersialkan.
  1. Mengehadkan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke Universiti Awam (UA) agar tidak melebihi RM1,500 supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak.
  1. Memudah cara dan membantu mahasiswa serta bakal pelajar yang mempunyai masalah pembayaran yuran. Pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada semester berikutnya.
  1. Memberikan rawatan asas termasuk saringan awal kanser payudara melalui klinik bergerak Hospital Pengajar Universiti (HPU).
  1. Menawarkan kepakaran dan perkhidmatan Hospital Pengajar Universiti (HPU) sebagai alternatif menangani isu kesesakan kemudahan kesihatan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia.
  1. Menyokong pelaksanaan Inisiatif FLYsiswa oleh Kementerian Pengangkutan yang manfaatkan hampir 60,000 orang pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

KPT akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong aspirasi Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

Kementerian Pendidikan Tinggi
13 Oktober 2023

Muat Turun

pdf Belanjawan 2024 Memacu Kecemerlangan Pendidikan Tinggi Negara.pdf (144 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 13533
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.