SIARAN MEDIA
PENGANJURAN HARI TERBUKA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA 2023 UNTUK MEMUPUK SEMANGAT KOLABORATIF DALAM MEMBINA EKOSISTEM PENDIDIKAN TINGGI NEGARA BERTARAF DUNIA
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) akan menganjurkan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara pada 23 Oktober 2023, bertujuan untuk memupuk semangat terbuka, ketelusan dan kerjasama sesama individu dan organisasi yang terlibat dalam ekosistem Pendidikan Tinggi Negara.
Seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di dalam perutusan tahun baru 2023 beliau, landskap pendidikan tinggi hari ini jauh lebih rumit dan lebih mencabar. Maka dengan itu, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (National Review Committee) telah ditubuhkan agar dapat memberi saranan penambahbaikan yang sofistikated, lestari dan kontemporari dalam masa tiga bulan.
Dalam tempoh itu, Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional telah pun mengenal pasti lebih kurang 874 isu-isu umum yang wujud dalam ekosistem pendidikan tinggi negara dan telah dimurnikan kepada 58 isu-isu utama yang perlu diutamakan. Semua isu tersebut telah dipadankan dengan cadangan penyelesaian yang boleh dikategorikan sebagai perubahan transformasi, quick-wins dan pemboleh ubah jangka panjang.
Jawatankuasa itu juga telah membangkitkan tujuh (7) tema umum yang merencatkan evolusi sistem pendidikan tinggi negara. Ini termasuklah peraturan ketat yang mengekang perkembangan, proses tidak cekap yang menjadi punca kelewatan dan karenah birokrasi, ketidakselarasan antara keperluan industri dan reka bentuk akademik, hala tuju yang tidak jelas kerana kekurangan dasar dan peraturan, sumber yang tidak mencukupi, mekanisme pembiayaan yang tidak memberi insentif kepada institusi yang menunjukkan prestasi tinggi dan penguatkuasaan dan pelaksanaan yang lemah.
Seiring dengan misi peningkatan prestasi ekosistem pendidikan tinggi negara secara kolaboratif, pihak Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional akan mempamerkan cadangan-cadangan utama yang akan menjadikan sistem pendidikan tinggi negara berfungsi dengan optimum, efisien; dan seterusnya menghasilkan universiti dan institusi yang setaraf dengan sistem pendidikan antarabangsa yang terbaik.
Ketahui dengan lebih lanjut tentang cadangan-cadangan yang ini di Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara tahun ini, di perkarangan lobi Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya. Hari Terbuka Pendidikan Tinggi 2023 ini dianjurkan untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas dari orang ramai berkenaan cadangan yang diunjurkan oleh Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi tersebut.
Hari terbuka ini akan bermula dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Majlis Perasmian Penutup Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara ini akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda persetujuan ke atas cadangan-cadangan yang diusulkan.
Kementerian Pendidikan Tinggi
17 Oktober 2023
Muat Turun
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 9084