logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

KPT TERUSKAN PELAKSANAAN PROGRAM PENAJAAN MYBRAIN 2.0 DAN UMUM KENAIKAN KADAR ELAUN SARA HIDUP (ESH)


Kementerian Pendidikan Tinggi akan meneruskan pelaksanaan program penajaan MyBrain 2.0 sebagai kesinambungan program MyBrain15 mulai tahun 2024. Program ini mensasarkan seramai 500 orang penerima bagi setiap tahun dalam kalangan orang awam yang tidak bekerja atau tidak berpendapatan tetap dan pensyarah Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) bagi melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah. Pelaksanaan program ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi setiap ambilan. Permohonan untuk penajaan ini pula dijangka akan dibuka pada Januari 2024.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Program MyBrain 2.0 antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan YTL Cement Berhad bagi mewujudkan kerjasama strategik Universiti-Industri. Melalui kerjasama ini, sebuah Konsortium Penyelidikan Universiti-Industri bakal ditubuhkan bagi menyediakan peluang penajaan di peringkat pascasiswazah khususnya kepada pelajar cemerlang dalam negara.

Dalam konteks ini, YTL Cement Berhad akan menyediakan geran padanan sebanyak RM1.6 juta untuk menaja pelajar pascasiswazah dalam pelbagai bidang pengajian yang dapat membantu negara untuk memulihara warisan landskap kars batu kapur serta penggunaannya secara lestari.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin juga mengumumkan kenaikan kadar Elaun Sara Hidup (ESH) pelajar sedia ada dan baharu di bawah Program Penajaan KPT bagi peringkat sijil hingga pascasiswazah dalam dan luar negara seperti berikut:

  1. Kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu luar negara di bawah Program MyBrainScience:
    1. kenaikan 15% kadar ESH bagi pelajar sedia ada dan baharu kecuali peringkat Ijazah Sarjana Pertama di United Kingdom (UK);
    2. kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di UK diseragamkan daripada 2 kadar A dan B kepada kadar A; dan
    3. kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu di Amerika Syarikat diseragamkan daripada 3 kadar iaitu Kadar A, B dan C kepada dua kadar A dan B sahaja.
  2.  Pelaksanaan kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu bagi program- program penajaan dalam negara seperti berikut:
    1. kenaikan kadar ESH pelajar sedia ada dan baharu yang menerima biasiswa dan dermasiswa dalam negara sebanyak RM100 sebulan (Biasiswa Atlet Cemerlang IPT, Biasiswa Pelajar Cemerlang Politeknik, Biasiswa Tokoh Siswa, Dermasiswa B40 TVET dan Program MyBrain 0);
    2. menyeragamkan ESH pelajar sedia ada dan baharu yang pelbagai kepada satu kadar mengikut peringkat pengajian iaitu Diploma (RM730), Ijazah Sarjana Muda (RM800), Sarjana/ Doktor Falsafah (RM1,000). Walau bagaimanapun, penyeragaman ini tidak melibatkan program MyBrainScience kerana kadar ESH sedia ada program tersebut adalah lebih baik daripada program-program lain sedia ada (Kadar Elaun MyBrainScience sedia ada adalah RM900 untuk Ijazah Pertama, RM1,700 untuk Sarjana dan RM2,400 untuk Ph.D); dan
    3. kenaikan RM100 sebulan ESH/Elaun Wang Saku juga diperluaskan kepada pelajar-pelajar B40 (Bantuan Kewangan Asasi dan Bantuan Kewangan Pelajar Kolej Komuniti) dan OKU (Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya dan Program Pendidikan Khas).
  3.  Walau bagaimanapun, kadar ESH yang dinikmati oleh pelajar dalam kalangan pegawai awam dalam perkhidmatan sama ada sedia ada dan baharu dalam dan luar negara dikekalkan.

Kenaikan kadar ESH ini akan berkuat kuasa mulai tahun 2024 dan pertambahan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM30.78 juta. Seramai 24,729 pelajar tajaan KPT dijangka menerima manfaat ini.

Kenaikan kadar ESH ini merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi menangani kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Ia juga bagi memastikan pelajar tajaan KPT dapat meneruskan pengajian dalam keadaan yang kondusif dan mampu menyempurnakan pengajian dengan jayanya tanpa perlu memikirkan bebanan kewangan yang semakin meningkat.

YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah menyampaikan surat tawaran kepada pelajar-pelajar tajaan KPT yang berjaya melanjutkan pengajian pada tahun 2023 di peringkat sijil hingga pascasiswazah. Pada tahun 2023, seramai 17,015 pelajar telah diberikan penajaan sama ada dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan bantuan kewangan kepada pelbagai kumpulan sasar. Penajaan bagi tahun 2023 adalah melibatkan sebanyak RM156 juta. Manakala pada tahun 2024, sebanyak RM206 juta telah diperuntukkan sepertimana pembentangan belanjawan 2024.

Kementerian Pendidikan Tinggi
26 Oktober 2023

Nota kaki : KPT telah melaksanakan dua program MyBrain iaitu MyBrain 15 dan MyBrain Science. MyBrain 15 terbuka kepada pelbagai bidang pengajian di peringkat sarjana dan PhD yang telah dilaksanakan bermula 1 Disember 2010 di bawah RMK10 dan RMK11 dengan penawaran terakhir program MyBrain 15 ini pada 2016.

Program MyBrain Science pula dilaksanakan pada 2012 dengan penajaan di peringkat ijazah pertama hingga pascasiswazah dalam bidang sains tulen sahaja dan program ini masih dilaksanakan hingga kini.

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media MyBrain 2.0 dan Kenaikan Kadar Elaun Sara Hidup.pdf (72 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 5617
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.