logo kpt black

SIARAN MEDIA

ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KALI KE-15: PAKAR PENYAKIT BERJANGKIT NEGARA DINOBAT SEBAGAI TOKOH AKADEMIK NEGARA


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Akademik Negara Ke-15 (AAN15) di ibu negara malam tadi yang menyaksikan Pakar Penyakit Berjangkit Negara, Profesor Dato' Dr. Adeeba binti Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara bagi edisi kali ini.

Profesor Dato' Dr. Adeeba bukan sahaja seorang pakar perubatan, malah merupakan pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia. Beliau telah bertanggungjawab menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 1996 serta Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti Malaya pada tahun 2008. Hasil kepimpinan dan sumbangannya, CERiA telah menjadi satu daripada pusat rujukan HIV/AIDS terkemuka di negara ini.

Di peringkat antarabangsa, beliau merupakan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Di samping itu, seramai lima (5) orang ahli akademia lain juga telah dinobatkan sebagai penerima AAN mengikut kategori berikut:

  1. Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains
    Prof. Madya Dr. Tan Jun Jie
    Universiti Sains Malaysia (USM)
  2. Anugerah Penerbitan Buku
    Prof. Dr. Shamsul Bahri bin Abdul Razak
    Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  3. Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan
    Prof. Madya Dr. Adibah binti Abdul Latif
    Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  4. Anugerah Pengajaran Kelompok Sains Gunaan
    Dr. Norliza binti Mohd Isa
    Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  5. Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk
    Ts. Dr. Mariani binti Abdul Hamid
    Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000.00 beserta trofi dan sijil manakala bagi penerima kategori yang lain pula menerima wang tunai RM50,000.00 beserta trofi dan sijil.

AAN adalah acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023. Program ini merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Malah, AAN juga adalah merupakan satu daripada inisiatif Kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.

Majlis turut menyaksikan kehadiran ahli akademia dari Universiti Awam; Institusi Pendidikan Tinggi Swasta; Politeknik dan Kolej Komuniti.

Kementerian Pendidikan Tinggi
31 Oktober 2023

Muat Turun:

pdf Siaran Media Anugerah Akademik Negara Kali Ke-15.pdf (24 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4523
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.