logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

PENGANUGERAHAN TOKOH AKADEMIK BAHASA MELAYU TAHUN 2020


Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli bin Wan Daud telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) Tahun 2020. YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli merupakan profesor Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia dan profesor UKM-Petronas Tenaga Hidrogen Lestari, Institut Sel Fuel (Selfuel).

YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Wan Ramli telah mencipta pelbagai pencapaian gemilang di dalam negara dan antarabangsa seperti pengiktirafan sebagai 1% saintis tersohor dunia dalam The World’s Most Influential Scintific Minds dan Highly Cited Researcher sebanyak enam (6) kali iaitu dua kali oleh Thomson Reuters pada 2015 dan 2016 dan empat kali (4) oleh Clarivate Analytics pada 2017, 2018, 2019 dan 2020.

Selain itu, beliau juga turut menerima anugerah lain yang berprestij bagi saintis Malaysia iaitu Anugerah Merdeka (2016) untuk prestasi kesarjanaan yang amat cemerlang dalam penyelidikan dan pengembangan sel fuel dan tenaga hidrogen di dunia. Beliau turut menjuarai bidang tenaga berpancaran sifar seperti tenaga hidrogen, teknologi sel fuel dan teknologi pengeringan lestari; dan etnoteknologi Melayu di persada global melalui penyelidikan dan pembangunan menggunakan Bahasa Melayu. 

ATABM merupakan satu daripada usaha untuk mengiktiraf ahli akademik di universiti awam yang telah memperlihatkan kesungguhan dampak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu melalui penghasilan karya-karya ilmiah yang berkualiti tinggi samada di peringkat kebangsaan mahupun di arena antarabangsa. Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, enam orang tokoh telah menerima anugerah ini yang terdiri daripada ahli-ahli akademik di universiti awam dengan pelbagai latar belakang bidang kepakaran.

Bagi menggalakkan keterlibatan ahli akademik dalam memartabatkan Bahasa Melayu, tiga kategori telah diperkenalkan pada tahun 2020 iaitu Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu, Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal dan Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan.

YBrs. Dr. Mazura binti Mansor, Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Sultan Idris Shah telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Teknikal manakala Encik Mohamad Asri bin Mat Husin, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (Bahasa), Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan. Tiada pemenang bagi kategori Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu.

KPT mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan berharap agar penganugerahan ini diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang sebagai pemangkin kepada kelestarian Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
20 MEI 2021

Muat Turun:

pdf Kenyataan Media Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Tahun 2020 (348 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 12805
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Rabu 27 Mac 2024, 16:20:33.