logo kpt black

SIARAN MEDIA

DEWAN NEGARA LULUS PINDAAN AUKU 2023


Dewan Negara sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2023 setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Secara keseluruhan, RUU ini melibatkan enam (6) peruntukan utama seperti berikut:

I. Seksyen 15A – Memberi kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar dan Badan Pelajar untuk memungut wang atau menerima sumbangan lain;

II. Seksyen 16B - Perubahan Pihak Berkuasa Tatatertib Pelajar Universiti;

III. Seksyen 48(4) Jadual Pertama - Tempoh lantikan Majlis Perwakilan Pelajar berdasarkan kalendar akademik;
IV. Seksyen 48(11) Jadual Pertama - Majlis Perwakilan Pelajar dibenarkan untuk menyenggara kumpulan wang (akaun);

V. Seksyen 48(12A) Jadual Pertama - Kuasa kepada Lembaga untuk membuat peraturan berkaitan pemungutan wang di Seksyen 15A; dan

VI. Seksyen 49(2) Jadual Pertama - Pemakaian peruntukan-peruntukan Seksyen 48 Majlis Perwakilan Pelajar kepada Badan Pelajar lain.

Seramai 19 orang ahli telah mengambil bahagian dalam perbahasan yang menyaksikan antara topik paling banyak disentuh dan dibangkitkan adalah mengenai jawatankuasa tatatertib pelajar, pengurusan kewangan persatuan dan tempoh pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar. Melalui Rang Undang-Undang ini, mahasiswa Universiti Awam diberi ruang untuk mengurus kewangan dan aktiviti persatuan masing-masing apabila pindaan akta ini diwartakan kelak.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Negara yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan, menyumbang idea serta pandangan. Penghargaan terima kasih juga turut diucapkan kepada seluruh ahli dewan yang sebulat suara menyokong pindaan RUU ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi
2 APRIL 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Dewan Negara Lulus Pindaan AUKU 2023 (65 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3419
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Selasa 30 April 2024, 23:06:49.