logo kpt black

SIARAN MEDIA

KAD MYSISWA: KAD PINTAR PELBAGAI GUNA DAN MANFAAT UNTUK MAHASISWA


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, telah meluncurkan inisiatif Kad MySiswa secara rasmi bersempena Majlis Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) @UniMAP yang turut disertai hampir 2,000 mahasiswa di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Kad MySiswa (yang dulunya Kad Prihatin Siswa) merupakan inisiatif bersepadu KPT bersama RHB Islamic Bank Berhad (selaku rakan strategik pelaksana) sebagai komitmen dalam mendukung Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang turut berpotensi memartabatkan gaya hidup mereka.

Pelaksanaannya bermula Mac 2023 lalu telah memanfaatkan hampir 550,000 orang mahasiswa di kesemua 20 buah Universiti Awam (UA) seluruh negara.

Cetusan idea Kad MySiswa ini telah diusulkan sendiri oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) pada tahun 2020 lalu dan KPT melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menyambut hasrat tersebut sebagai refleksi bahawa Kerajaan sentiasa peka serta memahami denyut nadi golongan mahasiswa.

Peluncurannya turut menepati matlamat KPT untuk memperkasakan dan memartabatkan mahasiswa menerusi transformasi kad matrik pelajar sedia ada menjadi sekeping kad pintar pelbagai fungsi, antaranya sebagai kad debit bank; kad akses kepada kemudahan dan fungsi dalaman kampus yang bersepadu seperti sistem kehadiran, sistem perpustakaan; malah ia turut dilengkapi dengan kemudahan e-dompet.

Selain itu, Kad MySiswa akan berfungsi sebagai kad promosi dan diskaun yang melayakkan pemegangnya menikmati pelbagai tawaran istimewa, potongan harga dan rebat daripada para pedagang terpilih, sama ada di dalam mahu pun di luar kampus.

Setakat Mac 2024, lebih 100 pedagang dan 319 vendor baharu di sekitar lokaliti kampus UA yang menawarkan keistimewaan eksklusif, diskaun juga promosi kepada para pemegang Kad MySiswa.

Secara tidak langsung, pelaksanaan inisiatif ini juga bakal menjadi pemangkin transformasi ekosistem kampus nirtunai (cashless campus) seiring perkembangan dan tuntutan teknologi digital kewangan masa kini.

Kementerian bersama pihak RHB Islamic Bank Berhad juga sedang meneliti kebolehlaksanaan inisiatif ini untuk diperluaskan kepada pelajar-pelajar politeknik dan kolej komuniti, dan seterusnya kepada mahasiswa di IPTS agar mereka turut sama berpeluang menikmati manfaat yang setara dengan mahasiswa pemegang Kad MySiswa dari UA.

Kementerian Pendidikan Tinggi
23 MAC 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Kad Mysiswa: Kad Pintar Pelbagai Guna Dan Manfaat Untuk Mahasiswa (75 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 6810
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.