logo kpt black

KENYATAAN MEDIA

FOKUS PROSES PEMINDAHAN ILMU KEPADA MASYARAKAT DAN KERJASAMA DENGAN KOMUNITI SETEMPAT


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah membuat lawatan kerja rasmi ke Kolej Komuniti Jasin (KKJ) dan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) hari ini.

Ini merupakan kolej komuniti pertama dan politeknik pertama yang dilawati oleh beliau.

Dalam lawatan ke kedua-dua institusi ini, Dr. Zambry telah menekankan peri pentingnya kolej komuniti dan politeknik melahirkan graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja terutamanya bidang kemahiran terkini dan juga TVET. Pada masa sama beliau mahu melihat proses pemindahan ilmu kepada masyarakat turut berlaku dalam kalangan pendidik dan pelajar.

Dalam titipan amanatnya di kedua-dua majlis, beliau turut menekankan kerjasama dengan komuniti setempat juga Kerajaan Negeri Melaka dalam menentukan keperluan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang bersesuaian sangat penting.

Malah, penglibatan dengan pihak industri turut disaran agar program yang ditawarkan dapat melahirkan graduan yang dapat memenuhi pasaran, sekali gus mampu menjana ekonomi negeri yang lebih mampan dan sejahtera.

Pada kunjungan tersebut, YB Menteri bersama Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mohamad Azhan Md. Amir turut mengambil maklum berkenaan keperluan KKJ dan PMM dalam meneruskan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat setempat.

Hadir sama ADUN Merlimau merangkap Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, YB. Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Haji Mohd Zahari Ismail; serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Program turun ke IPT ini menjadi antara agenda utama Dr. Zambry sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dalam usaha mengangkat imej IPT di seluruh negara termasuk IPTA, IPTS, politeknik dan kolej komuniti dan pada masa sama mendengar dan mendekati mahasiswa, tenaga pengajar dan warga kampus.

Kementerian Pendidikan Tinggi
16 JANUARI 2024

Muat Turun:

pdf 2024-01-16-SIARAN-MEDIA-KPT-LAWATAN-KERJA-MENTERI-KE-KK-JASIN-DAN-POLITEKNIK-MERLIMAU.pdf (31 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4320
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.