logo kpt black

SIARAN MEDIA

LAWATAN KERJA MENTERI PENDIDIKAN TINGGI KE UNITED KINGDOM MEMETA PENDIDIKAN TINGGI NEGARA DI PENTAS GLOBAL


Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom bermula 23 hingga 24 Januari 2024. Lawatan kerja ini adalah sebagai usaha strategik untuk meletakkan pendidikan tinggi Malaysia di pentas global.

Program Syarahan Umum YB Menteri di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menjadi pengisian pertama lawatan anjuran bersama SOAS dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Intipati utama adalah menjurus kepada perkongsian strategik antara dua universiti seperti pewujudan kelas pemantapan Bahasa Melayu, penyediaan geran padanan antara universiti, pertukaran tenaga pengajar dan pelajar serta penerbitan dan penyelidikan bersama.

Lawatan YB Menteri turut tertumpu kepada penyelarasan pengurusan pembangunan Education Malaysia United Kingdom and Eire yang merupakan sebuah unit di bawah pentadbiran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London iaitu antara unit terpenting di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selain lawatan ke projek pembinaan kuarters pegawai di Malaysia Hall yang telah digazetkan di bawah projek pembangunan RMKe-12.

Pengisian lain melibatkan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Lancaster University menerusi MOU - Collaborative Framework Agreement yang berlangsung pada 24 Januari 2024 di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London disaksikan oleh YB Menteri KPT dan TYT Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Great Britain dan Northern Island.

YB Menteri turut mengadakan pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di United Kingdom merangkumi pelbagai peringkat.

Mengakhiri lawatan kerja di UK, YB Menteri turut berkunjung ke University of Law yang tertumpu kepada perbincangan hasrat University of Law untuk menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia.

YB Menteri seterusnya akan ke Malta bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah Kali ke-9 (ASEMME9) dan akan turut menyampaikan ucapan sulungnya dalam mesyuarat ini. Beliau juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan sepanjang mesyuarat ini berlangsung.

Kementerian Pendidikan Tinggi
25 JANUARI 2024

Muat Turun:

  pdf Siaran Media - Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi Ke United Kingdom Memeta Pendidikan Tinggi Negara Di Pentas Global (30 KB)

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 4642
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.