200 Graduan Sertai Kohort 1 Program Kepimpinan Invested Bersama Asia School Of Business

200 Graduan Sertai Kohort 1 Program Kepimpinan Invested Bersama Asia School Of Business

Seramai kira-kira 200 graduan baharu akan menjalani modul pembelajaran selama sebulan melalui Program Kepimpinan InvestED di Asia School of Business (ASB), Kuala Lumpur.

Program yang julung kali diadakan ini terdiri daripada modul pembelajaran komprehensif dan interaktif selama sebulan, diikuti dengan latihan sambil bekerja selama enam (6) bulan dengan rakan kongsi InvestED daripada industri pasaran modal. Modul pembelajaran ini telah dibangunkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) dengan kerjasama Asia School of Business (ASB).

Dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jun tahun ini, InvestED adalah inisiatif pasaran modal utama yang bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat mampan untuk membantu menangani kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.

Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata KPT mengalu-alukan usaha sama seperti ini dengan sektor-sektor lain untuk memenuhi keperluan tenaga kerja industri dan negara yang kian meningkat. Program ini membantu para graduan untuk memperolehi pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan serta mengurangkan kadar pengganguran dalam kalangan graduan.

Tambah beliau lagi, program ini merupakan peluang keemasan kepada para siswazah untuk menceburi bidang kewangan yang merupakan subsektor perkhidmatan ketiga terbesar di Malaysia.

Program pada hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Kementerian Kewangan Malaysia, YBhg. Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin; Pengerusi SSM, YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, KPT, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1514
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.