3 Aspirasi KPT Memeta Mutu Pendidikan Tinggi Terbaik Global
Pembangunan bakat terbaik; penyelidikan dan inovasi yang strategik; serta pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara.
Tiga (3) aspirasi utama tersebut telah dinyatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sebagai usaha kementeriannya dalam memiawaikan sektor pendidikan tinggi setara dengan yang terbaik di dunia.
YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut menegaskan, "sudah menjadi hala tuju dasar KPT untuk memastikan kualiti pendidikan tinggi Malaysia, setanding, kalau tidak, lebih baik berbanding mutu antarabangsa"
Beliau berkata demikian kepada para kakitangan dan pelajar University of Wollongong Malaysia (UOWM) dalam majlis meraikan penaiktarafan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) tersebut kepada berstatus universiti swasta penuh di sini malam tadi
Jelas beliau, biarpun sukar, sasaran tersebut sudah tentu boleh dicapai sekiranya semua pihak mahu menggembleng kerjasama dan membuktikan ketekalan masing-masing membangunkan ekosistem pendidikan negara yang cemerlang nan insani.
UOWM dahulu merupakan sebuah IPTS iaitu Kolej Damansara Utama (KDU) sebelum diserap sebagai sebahagian jaringan pencapaian global University of Wollongong dari Australia pada 2019.
Menurut YB Menteri, UOWM adalah IPTS ke-4 dari Australia yang telah membuka kampus di Malaysia, sekali gus membuktikan hubungan erat kedua-dua negara yang terjalin melalui sektor pendidikan tinggi.
"Dengan ramai ahli politik, korporat dan pemimpin masyarakat tempatan berkelulusan dari IPT di Australia, maka tidak hairanlah negara itu menjadi pilihan ke-3 mahasiswa Malaysia dengan 25% mereka memilih untuk membuat pengajian di sana" tambah beliau.
Ucap beliau lagi, sejajar dengan aspirasi pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara, KPT tidak mengehadkan pencapaian kepada pertambahan jumlah pelajar asing sahaja, malah turut mensasarkan pembukaan banyak kampus cawangan IPT antarabangsa serta peningkatan kerjasama strategik melibatkan program mobiliti pelajar dan ahli akademik dari luar negara.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan yang juga merupakan alumni, YB Puan Hannah Yeoh Tseow Suan; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, TYT Simon Fellows; Pengerusi Lembaga Gabenor UOWM, Dato' Mohammad Medan Abdullah; serta Canselor UOWM, Datuk Seri (Dr.) Michael Yam.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2310