Akademi Pengajian Melayu UM Wahana Terbaik Perkasa Pengajian Melayu Sejagat

Akademi Pengajian Melayu UM Wahana Terbaik Perkasa Pengajian Melayu Sejagat

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperuntukkan sejumlah RM500 ribu kepada Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM) bagi usaha memartabatkan program pengajian Melayunya agar menjadi pusat ilmu Melayu global segah Leiden University dan School of Oriental and African Studies, University of London di Eropah.

Peruntukkan tersebut mencakupi dua (2) langkah strategik untuk APM iaitu membangunkan satu kertas khas bagi melestarikan dan merekayasa program pengajian Melayu di situ serta cadangan untuk menubuhkan semula Kerusi Za'ba yang akan dipengerusikan oleh APM.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika menyampaikan syarahan yang bertajuk “Pemerkasaan Pengajian Melayu Untuk Pembinaan Negara dan Pengisian Tuntutan Globalisasi” di program Syarahan Za'ba 2023 di sini pagi tadi.

Selain itu, beliau turut menggariskan tiga (3) lagi usul bagi memartabatkan pengajian Melayu termasuklah mengangkatnya menjadi bidang dan disiplin ilmu yang strategik sehingga setara dengan bidang pengajian “Middle Eastern” atau Chinese Studies.

Kedua, pengajian Melayu mesti dilengkapkan dengan rangkaian sumbangan yang jelas dan terlihat kepada bangsa dan negara; dan ketiga, APM perlu mendekati mereka yang meletakkan kepentingan pengajian Melayu dan seterusnya meluaskan jaringan kepada mereka yang berkongsi perjuangan yang sama.

Beliau berharap, usaha dan wawasan KPT tersebut dapat memperkasakan pengajian Melayu agar menjadi satu disiplin ilmu yang semakin diminati, jurusan yang disegani dan menjadi pelaburan terbaik negara untuk masa depan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2114
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.