AKKPT 2023 Iktiraf Agenda Keusahawanan IPT

AKKPT 2023 Iktiraf Agenda Keusahawanan IPT

Majlis kemuncak Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT 2023) telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir di ibu negara malam tadi.

Majlis Anugerah dwi-tahunan tersebut bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar dan graduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) serta tenaga pengajar yang menunjukkan kecemerlangan dan komitmen tinggi dalam menjayakan agenda keusahawanan di menara gading.

KPT telah menerima 213 penyertaan daripada IPT seluruh Malaysia yang seterusnya telah dinilai oleh panel penilai yang dilantik dalam kalangan tokoh industri dan pakar pelbagai bidang terutamanya keusahawanan.

Sebanyak 16 kategori telah dipertandingkan; sembilan (9) daripada Kategori Utama; dan tujuh (7) lagi untuk Kategori Anugerah Khas Keusahawanan Digital dan Inovasi.

AKKPT 2023 menyaksikan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Mutimedia telah dipilih untuk menjadi pemenang bersama bagi Kategori Utama iaitu Universiti Terbaik dengan nilai hadiah berupa geran sebanyak RM 250 ribu; Kategori Politeknik Terbaik telah dimenangi oleh Politeknik Merlimau Melaka; dan Kolej Komuniti Terbaik telah dimenangi oleh Kolej Komuniti Bandar Darul Aman.

Buat julung kalinya juga, AKKPT 2023 mempertandingkan tujuh (7) kategori Anugerah Khas Digital dan Inovasi dengan Universiti Kebangsaan Malaysia mengungguli kategori Media Sosial Siswa Terbaik, Media Sosial Graduan Terbaik, Syarikat Pemula Graduan Terbaik, Projek Siswa Berteknologi Tinggi dan Geran Latihan Siswa. 

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 468
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.