Debat Perdana MADANI Projek Negara Jana Idea Jayakan Malaysia MADANI

Debat Perdana MADANI Projek Negara Jana Idea Jayakan Malaysia MADANI

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai sebuah kementerian yang menguruskan bakat, ilmu dan kebijaksanaan sektor pendidikan tinggi negara mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menjayakan gagasan Malaysia MADANI.

Penganjuran program Debat Perdana MADANI di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pagi tadi menjadi inisiatif KPT mendakap gagasan tersebut dengan menggembleng idea dan pemikiran besar untuk disumbangkan kepada kerajaan dalam usaha membawa kesejahteraan ke segenap lapisan rakyat di Malaysia.

Berucap ketika merasmikan edisi pertama program tersebut, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengangkatnya sebagai sebuah Projek Negara yang memfokuskan kepada penjanaan idea-idea bernas untuk dijadikan pemangkin hala tuju negara.

Membariskan 10 orang ahli panel tempatan dan antarabangsa, program debat tersebut telah diisi dengan sesi "Bicara Sejahtera Malaysia MADANI"; pembentangan kupasan Malaysia MADANI oleh tiga (3) orang tokoh cendekiawan; serta forum "Merealisasikan Negara Madani: Cabaran Dalam Malaysia Yang Majmuk".

Menurut YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, penganjuran program ini didasarkan kepada tiga (3) dimensi iaitu Malaysia MADANI merupakan seruan kebersamaan dalam memberi yang terbaik kepada tanahair.

Kedua, ia juga merupakan sebuah pentas untuk KPT memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan gagasan tersebut dengan cara yang betul, praktikal dan strategik.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa pelbagai idea kritis dan segar semua panel akan dihimpunkan dalam sebuah resolusi yang akan diangkat bagi pertimbangan YAB Perdana Menteri untuk diterapkan dalam pelaksanaan kerangka Malaysia MADANI.

Harapan beliau, Malaysia akan bertumbuh menjadi sebuah negara yang matang, sarat dengan nilai-nilai unggul dan dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar dan perbezaan.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal serta barisan pengurusan tertinggi KPT dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1650
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.