Program KPT Prihatin MADANI HUMS Beri Peluang Masyarakat Dekati Fungsi KPT

Program KPT Prihatin MADANI HUMS Beri Peluang Masyarakat Dekati Fungsi KPT

Sementara itu di Lahad Datu, Sabah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal bersama para petugas Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah turun padang bagi menjayakan program KPT Prihatin MADANI bersama masyarakat Felda Sahabat 3, pagi tadi.

Program berorientasikan kesihatan itu menawarkan kepakaran 11 bidang HUMS secara percuma, antaranya pemeriksaan asas; gigi; rehabilitasi; telinga, hidung dan tekak (ENT); pemakanan serta saringan kesihatan mental.

Klinik Bergerak HUMS turut mengadakan pameran CERAH (Cancer Empowerment Outreach Awareness HUMS) yang bertujuan mendedahkan kepada komuniti Felda Sahabat 3 berkenaan mudarat penyakit kanser.

Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri dan delegasi HUMS turut menziarahi beberapa rumah di situ untuk menyampaikan bantuan berupa tongkat bantuan berjalan serta sumbangan bakul prihatin.

Dalam ucapannya, beliau mengharapkan agar program KPT Prihatin MADANI ini dapat memberi persepsi baharu masyarakat terhadap fungsi KPT yang selama ini dianggap sebagai pengurus sektor pendidikan tinggi negara sahaja.

Menurutnya, program hari ini telah membuktikan yang kepakaran Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam terutamanya Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah KPT turut boleh dikongsi bersama orang ramai.

Tambah beliau, HUMS dan IPTA lain turut dipelawa turun ke Lahad Datu bagi menjalankan kajian ke atas ekosistem dan sosiobudaya di sini yang boleh diteroka bagi meningkatkan taraf hidup serta ekonomi masyarakat setempat selari dengan gagasan Malaysia MADANI.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1719
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.