Khidmat Bakti HCTM UKM Santuni Masyarakat Sedili

Khidmat Bakti HCTM UKM Santuni Masyarakat Sedili

Program khidmat bakti oleh warga serta pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dengan masyarakat bukan sahaja mampu menautkan hubungan yang lebih akrab, malah turut berupaya menterjemah kepakaran dan kearifan IPT dalam menawarkan rakyat sebuah solusi nasional.

Usaha murni berserampang dua mata tersebut sentiasa disambut baik oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mana inovasi, penyelidikan, serta kepakaran rentas bidang dapat dimanfaatkan untuk kemaslahatan masyarakat.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyantuni masyarakat Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor melalui program KEKAL SIHAT KPT PRIHATIN MADANI yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin.

Program tersebut merupakan inisiatif khidmat bakti HCTM yang diisi dengan aktiviti berkaitan kesihatan secara percuma seperti pemeriksaan, rawatan dan kaunseling.

YB Menteri turut beramah mesra dengan para penduduk yang hadir sebelum menziarahi beberapa rumah di kawasan sekitar bersama pasukan HCTM sambil berkesempatan menyampaikan sumbangan bakul rahmah.

Dalam ucapannya, beliau berharap program seperti ini terus mendapat sambutan semua lapisan komuniti di Sedili serta mampu memberi manfaat kepada keterlihatan UKM di mata masyarakat.

Hadir sama dalam program ini Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman dan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin.

Kredit Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1511
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.