DYMM Sultan Johor Dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UTHM

DYMM Sultan Johor Dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah UTHM

Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah berkenan bercemar duli menyempurnakan sidang khas Istiadat Konvokesyen kali ke-23 universiti tersebut di sini pagi tadi.

Pada sidang tersebut juga, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang Dipertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan baginda dalam kepimpinan lestari kepada UTHM, Bangsa Johor dan Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Menteri Besar Johor, YAB Dato' Onn Hafiz Ghazi turut hadir bagi menyambut keberangkatan DYMM Sultan Johor serta DYAM Tunku Canselor, Tunku Mahkota Johor.

Menurut Naib Canselor UTHM, Prof. Dato' Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, seramai 4837 orang graduan merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu Ijazah Doktor Falsafah (135), Sarjana (314), Sarjana Muda (3543) dan Diploma (845) dirai dalam Istiadat Konvokesyen kali ini.

Dalam sidang pagi tadi juga, DYAM Tunku Canselor turut berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Prof. Ts. Dr. Ismail Abdul Rahman bagi menghargai penglibatan dan sumbangan beliau dalam dunia pendidikan tinggi, industri, komuniti dan kepimpinan.

Kredit Foto : The Royal Johor & Universiti Tun Hussein Onn Malaysia UTHM

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1062
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.