Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi

Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin semalam telah bersiaran secara langsung dalam program Naratif Khas di TV1, RTM dan mengupas mengenai perancangan dan hala tuju pendidikan tinggi dalam kerangka besar Ekonomi MADANI melalui tajuk perbincangan, Ekonomi MADANI: Pendidikan Tinggi.

YB Menteri telah berkongsi mengenai kesediaan KPT sebagai sebuah Kementerian yang menerajui pendidikan tinggi negara dalam melaksanakan program dan aktiviti yang dirancang berkaitan Ekonomi MADANI.

YB Menteri turut menekankan bahawa apa sahaja dasar yang ada haruslah dilaksanakan segera menggunakan kapasiti sedia ada dengan pendekatan memulakan terlebih dahulu melalui perkara-perkara yang menjadi kekuatan KPT. Misalnya, penyelidikan, kepakaran dan ilmu-ilmu yang boleh diterjemahkan ke dalam bentuk hasil yang dapat dirasai oleh semua.

Pada masa yang sama, KPT sedang melihat semula perancangan dan strategi sedia ada; antaranya melaksanakan satu pemetaan atau ‘mapping’ untuk melihat secara lebih jelas dan menyeluruh bagaimana KPT boleh menyumbang dengan lebih berkesan, khususnya melalui pendekatan 4P iaitu penyediaan bakat; penyelidikan dan inovasi; pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti dengan masyarakat; dan pengantarabangsaan.

Setakat ini, KPT telah mengenal pasti 16 inisiatif untuk membantu menjadikan negara sebagai pemimpin ekonomi Asia, 16 inisiatif meningkatkan taraf hidup rakyat, dan 18 inisiatif berkaitan tata kelola dan ketangkasan penyampaian.

Semua ini akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian dan praktikaliti. Pada akhirnya, sasaran KPT adalah membantu memberikan saranan dan idea bagaimana untuk membentuk semula ekonomi negara, meningkatkan daya saing bakat tempatan, memperjuangkan keadilan sosial, serta membina keyakinan terhadap pentadbiran dan kecekapan penghantaran oleh Kerajaan.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1895
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.