Graduan Politeknik Ungku Omar Diseru Tuntut Ilmu Dan Kemahiran Sepanjang Hayat

Graduan Politeknik Ungku Omar Diseru Tuntut Ilmu Dan Kemahiran Sepanjang Hayat

Para graduan Politeknik Ungku Omar (PUO) diingatkan untuk terus menimba ilmu dan menambah kemahiran menerusi pelbagai program Pengajian Sepanjang Hayat (PSH) yang banyak ditawarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) biarpun apabila sudah berada di alam pekerjaan kelak.

Sikap murni tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan nilai serta kepakaran mereka di pasaran kerja, malah dapat juga memperkasa hub bakat tempatan sebagai yang terbaik di rantau ini, sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar berkata demikian ketika menyempurnakan majlis Istiadat Konvokesyen PUO kali ke-51 di sini pagi tadi.

Konvokesyen kali ini berlangsung dari 14 hingga 18 Ogos 2023 melibatkan seramai 1,981 orang graduan Diploma dan 81 orang penerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan teknologi maklumat.

Menurut beliau, KPT komited untuk membangunkan sektor pendidikan tinggi TVET yang dinamik dan berkembang pesat di Malaysia, dan institusi TVET terutamanya Politeknik Premier seperti PUO memainkan peranan penting dalam mencapai visi ini.

Tambahnya lagi, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang memberikan manfaat tidak hanya kepada graduan, tetapi juga kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada PUO kerana telah diberikan Anugerah Platinum oleh Suruhanjaya Pensijilan dan Akreditasi Asia Pasifik (APACC) sebagai pengiktirafan prestasi dan komitmen mereka dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan memenuhi standard antarabangsa dalam bidang TVET.

Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail serta Pengarah PUO, YBrs. Dr. Shamsuri Abdullah.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1906
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.