IPTS Bertanggungjawab Dapatkan Akreditasi MQA

IPTS Bertanggungjawab Dapatkan Akreditasi MQA

Kementerian sentiasa memandang serius sebarang isu yang melibatkan integriti dan pengiktirafan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) di negara ini melalui pemantauan berterusan dan penguatkuasaan agar akta dan peraturan sedia ada dipatuhi dengan baik oleh mereka.

Setiap program di IPTS perlu mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebelum mendapat kebenaran untuk dipromosikan kepada bakal pelajar di luar sana sebagaimana termaktub dalam Akta MQA (Akta 679).

Akta tersebut turut memperuntukkan denda tidak melebihi RM 100 ribu atau dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 96 bagi kesalahan mendaftarkan pelajar ke program yang tidak mendapat akreditasi MQA.

YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika menjawab berkenaan kesukaran graduan mendapatkan pekerjaan berikutan sijiil yang diperoleh tidak diiktiraf oleh MQA pada sesi Jawapan Lisan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Ke-2 Parlimen ke-15 2023 di sini pagi tadi.

Beliau menambah, di bawah Seksyen 97 akta yang sama, sebarang kesalahan melibatkan aktiviti mempromosi dan mengiklankan program pengajian tiada akreditasi MQA boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 200 ribu atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam memastikan IPTS mematuhi kerangka kelulusan dan pemantauan ketat yang telah dikuatkuasakan, KPT turut bertindak berdasarkan aduan orang awam melalui semua saluran rasmi yang telah disediakan.

Foto kredit: Jabatan Penerangan Malaysia

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3783
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 26 April 2024, 22:08:18.