KARiSMA Ke-28 Jadi Medan Atlet UiTM Semalaysia Beradu Kehebatan

KARiSMA Ke-28 Jadi Medan Atlet UiTM Semalaysia Beradu Kehebatan

Fokus sektor pendidikan tinggi negara terhadap pembangunan bakat mahasiswa tidak terhad kepada kecemerlangan akademik, sumbangan kepada masyarakat, atau kolaborasi industri sahaja, malah turut melibatkan kepada usaha mencungkil dan menggilap potensi mereka dalam bidang sukan agar dapat mengharumkan nama negara di mata dunia.

Pelbagai cerita kejayaan para atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di pentas global telah membuktikan dasar dan hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berada di landasan terbaik dalam memacu ekosistem kecemerlangan sukan negara. Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar berkata demikian ketika merasmikan Karnival Sukan Mahasiswa ke-28 (KARiSMA'28) Universiti Teknologi MARA ke-28 UiTM di sini.

Menurut beliau lagi, penyertaan mahasiswa daripada 14 buah kontinjen dalam KARiSMA'28 ini membuktikan mereka memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti sihat dan berfaedah yang mampu memupuk keterampilan dari aspek akademik dan sahsiah.

Karnival ini bakal menjadi medan persaingan kepada 2,622 orang atlet UiTM untuk bertanding merebut 1278 pingat dari 42 kategori sukan dan permainan bermula semalam sehingga 27 September nanti dengan UiTM Pulau Pinang terpilih sebagai tuan rumah edisi kali ini.

Pada majlis yang sama, beliau turut meluncurkan sistem Sports Championship Management System (SCMS) hasil inovasi warga UiTM yang akan bertindak sebagai pelantar rasmi kepada pengurusan dan penyampaian maklumat sepanjang penganjuran KARiSMA'28 ini.

Selain itu, YBhg. Dato' Seri KSU turut mengingatkan warga UiTM akan saranan YB Menteri Pendidikan Tinggi agar IPT menggunakan secara optimum dan strategik segala lapangan ilmu yang dimiliki dalam membangunkan sektor sukan negara secara holistik, bukan terhad kepada pencapaian dan rekod semata-mata tetapi merangkumi teknologi baharu dan lain-lain lagi.

Seterusnya, beliau mengharapkan agar semua para atlet yang bertanding akan berjuang dengan semangat "Minda Juara" dan berjaya mencapai kegemilangan yang diidamkan. Hadir sama Naib Canselor UiTM, YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor serta barisan pengurusan tertinggi UiTM yang lain.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 3940
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Jumaat 11 Oktober 2024, 07:37:56.

logo-sirim