PTPTN Peruntuk RM4.98 Juta Melalui Inisiatif WPP, Ringankan Beban 3,321 Mahasiswa Sabah
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa prihatin dengan kos perbelanjaan sebelum memasuki Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang tinggi terutama daripada golongan yang berpendapatan rendah.
Justeru itu, KPT melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memperuntukkan RM4.98 juta menerusi inisiatif Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 seorang sebagai usaha meringankan beban pengajian kepada 3,321 orang mahasiswa bagi negeri Sabah.
Timbalan Menteri Pendidikan, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal berkata demikian ketika menyerahkan WPP PTPTN berjumlah RM376,500 kepada 251 orang mahasiswa baharu di kawasan Lahad Datu siang tadi.
Jelas beliau, WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah membuat persetujuan menerima WPP semasa memohon melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.
Ini termasuk ibu bapa atau penjaga pelajar berkelayakan yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memenuhi kriteria-kriteria lain yang ditetapkan.
Menurutnya, semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2023, seramai 969,046 pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.43 bilion.
"Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua pelajar kerana berjaya melangkah ke menara gading dan gunakanlah WPP ini sebaik mungkin.
Pelajar-pelajar yang menerima WPP diharap dapat berjimat cermat dan berbelanja untuk tujuan yang betul kerana ia adalah sebahagian daripada pinjaman pendidikan yang akan diluluskan," ujar beliau.
Beliau turut berharap insiatif WPP yang diterima ini dapat memotivasikan para pelajar untuk terus belajar dengan bersungguh-sungguh, sekali gus berupaya mengubah hala tuju dan modal insan negara.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3431