Karnival Penyelidikan PPUM 2023 Ketengah Hasil Penyelidikan Sektor Penjagaan Kesihatan Dan Perubatan Negara

Karnival Penyelidikan PPUM 2023 Ketengah Hasil Penyelidikan Sektor Penjagaan Kesihatan Dan Perubatan Negara

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin menekankan bahawa Hospital Pengajar Universiti (HPU) bukan sahaja berperanan dalam melahirkan doktor dan pakar kesihatan terlatih, tetapi diseru untuk lebih proaktif dalam menjalankan penyelidikan dan membangunkan produk inovasi sendiri.

Bercakap kepada media selepas merasmikan Karnival Penyelidikan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pagi tadi, beliau turut mengalu-alukan inisiatif Universiti Malaya (UM) mempamerkan segala hasil penemuan dan kajian yang telah dijalankan oleh para penyelidik PPUM.

Oleh itu, beliau mencadangkan untuk mengangkat karnival tersebut sebagai Projek Negara yang akan menggabungkan penemuan dan inovasi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan HPU yang lain bagi mengintai peluang kolaborasi dengan pihak industri.

Beliau yang turut melancarkan aplikasi 'Patient Journey' hasil inovasi PPUM bagi merekod maklumat serta jadual para pesakit mereka, berharap agar aplikasi tersebut boleh diperkenalkan untuk kegunaan HPU yang lain bagi menyahut prinsip keserakanan dalam kalangan IPT.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kolaborasi antara PPUM dan MRANTI yang akan menjadikan PPUM sebagai hab teknologi yang bakal menguji produk serta inovasi bidang kesihatan terkini.

Menurut beliau, "Kita akan memperkenalkan beberapa pendekatan baru dalam soal penyelidikan bersama, antara industri dengan universiti, di mana geran padanan akan diperkenalkan bukan sahaja dalam konteks penyelidikan perubatan tapi dalam semua (bidang)".

Tambah beliau, kolaborasi PPUM dan industri dalam mempelbagaikan sumber melalui geran penyelidikan boleh dijadikan contoh apabila mereka telah menerima 46 ujian klinikal yang bernilai RM40 juta untuk dijalankan tahun ini.

Selain itu, beliau sedang mengkaji hala tuju syarikat pemula dalam sistem IPT bagi menyasarkan entiti ini sebagai saluran dan platform untuk melakukan lebih banyak kerjasama yang bermanfaat kepada masyarakat.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2878
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.