KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Sempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-13 UPNM

KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Berkenan Sempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-13 UPNM

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Tuanku Canselor UPNM telah berkenan berangkat bercemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-13 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di World Trade Centre (WTC) pagi tadi.

Keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM, Tan Sri (Dr) Syed Azman Syed Ibrahim; Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad, dan barisan pengurusan tertinggi UPNM.

Pada istiadat tersebut, KDYMM Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada dua (2) tokoh pertahanan negara dan seorang tokoh diplomasi antarabangsa.

Mereka ialah Panglima Angkatan Tentera Ke-17 Jeneral (Bersara) Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin, dalam Bidang Kejuruteraan Aeronautik; Panglima Angkatan Tentera Ke-18 Jeneral (Bersara) Tan Sri Dato’ Sri Hj. Zulkifeli Mohd Zin dalam bidang Strategik dan Hubungan Antarabangsa; serta mantan Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, TYT Datuk Khalid Ghanim Mohammed Alghaith, Yang dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 1,490 orang pelajar telah berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat termasuklah 11 orang graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 93 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana, 986 orang graduan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda dan 400 orang graduan dianugerahkan Diploma.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2784
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Isnin 29 April 2024, 18:21:44.