KPT-Jabatan Warisan Jalin Kolaborasi Pemeliharaan Dan Pemulihan Warisan

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Universiti Awam Malaysia petang ini telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda persetujuan untuk menjalinkan kerjasama strategik dan persefahaman dalam aspek penyelidikan, kepakaran, peralatan, pemeliharaan, pemuliharaan serta mempromosikan warisan negara bagi tempoh empat tahun iaitu 2023 sehingga 2027.

MoU berkenaan telah ditandatangani oleh Encik Mohamad Muda Bahadin, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Warisan Negara bersama wakil-wakil daripada 11 buah Universiti Awam Malaysia iaitu UM, USM, UPM, UTM, UPSI, UiTM, UMT, UTHM, UniMAP, UniSZA dan UMK serta disaksikan oleh YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bersama YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

MoU ini menumpukan kepada tujuh skop kerjasama dan diharap dapat meningkatkan komitmen serta kerjasama daripada Universiti Awam Malaysia dalam membantu JWN membentuk pelan pengurusan pemeliharaan dan pemuliharaan warisan yang komprehensif serta efisen selaras dengan peruntukan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Kerjasama strategik ini juga berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman kepada masyarakat khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengenai khazanah warisan negara serta membudayakan perkongsian ilmu melalui penerbitan dan aktiviti promosi berkaitan warisan. Inisiatif-inisiatif ini juga diharap dapat memberikan impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2189
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Khamis 25 April 2024, 18:19:27.