KPT Rai Para Pesara Kementerian
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah meraikan 47 orang warga dan bakal pesaranya dalam sebuah majlis penghargaan yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal malam tadi.
Mengetuai senarai ialah Mantan Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato' Seri Abdul Razak Jaafar yang baharu sahaja bersara tanggal 15 Oktober lalu.
Dalam ucapan beliau, YB Timbalan Menteri berkata bahawa majlis tersebut bukan sahaja sebuah apresiasi khas bagi mengiktiraf jasa dan sumbangan para pesara untuk tahun ini, malah peluang untuk sesama mereka mengutip kenangan akhir serta mengimbau nostalgia.
"Sumbangan dan jasa bakti yang dicurahkan oleh insan-insan yang kita raikan pada malam ini begitu bermakna, bukan sahaja kepada kementerian, tetapi juga kepada dunia pendidikan tinggi negara, baik secara langsung mahupun tidak langsung," ucap beliau.
Mewakili warga KPT yang lain, YB Timbalan Menteri turut mendoakan agar semua para pesara sentiasa dalam keadaan sihat sejahtera dan diberkati oleh Allah SWT dalam mengharungi alam berpencen.
Pada majlis tersebut, YB Dato' Haji Mohammad Yusof turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada warga KPT yang sedang berkhidmat atau pun pesara, yang telah menyumbangkan jasa dan tenaga sehingga kementerian berjaya merangkul tempat pertama untuk Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik bagi Peruntukan di atas RM1 bilion; dan tempat ke-3 untuk Anugerah Pengurusan IBS Terbaik bagi peruntukan juga di atas RM1 bilion pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara 2023, Selasa lalu.
Terima kasih kepada semua para pesara KPT 2023. Jasamu dikenang.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 2671