GHEF 2023: Platform Percepat Pembangunan Pendidikan Tinggi Untuk Pemulihan Yang Mampan

GHEF 2023: Platform Percepat Pembangunan Pendidikan Tinggi Untuk Pemulihan Yang Mampan

Perkongsian pengalaman, pertukaran ilmu dan amalan terbaik daripada pakar dalam ‘Global Higher Education Forum’ (GHEF) 2023 dipercayai mampu mempercepatkan pembangunan pendidikan tinggi untuk pemulihan yang mampan dan saksama.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal, forum ini merupakan platfom yang tepat untuk membincangkan masa depan pendidikan tinggi di peringkat nasional dan global sejak penubuhannya pada tahun 2007.

“Kita semua tahu bahawa pandemik COVID-19 telah menjejaskan banyak aspek kehidupan termasuk pendidikan tinggi. Penutupan kampus, peralihan kepada pembelajaran jarak jauh dan ketidaktentuan ekonomi telah menjejaskan ekosistem pendidikan tinggi di seluruh dunia. Namun begitu, kita telah melihat daya tahan, kreativiti dan inovasi komuniti pengajian tinggi dalam menyahut cabaran ini,” katanya ketika merasmikan penutup GHEF 2023, di sini siang tadi.

Tambah beliau lagi, sorotan GHEF 2023 yang merangkumi jurang digital dan rangkuman, bakat dan kebolehpasaran, kedudukan kewangan dan sosioekonomi serta dasar dan amalan pengajaran dan pembelajaran memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang situasi semasa serta turut membuka laluan baharu untuk pendidikan tinggi.

“Negara kita komited untuk memastikan akses yang saksama bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada semua tanpa mengira kaum, etnik, jantina, status sosioekonomi dan perbezaan demografi pelajar yang lain.

“Saya percaya forum ini memberi pengalaman yang berharga kepada semua peserta untuk mengumpul maklumat daripada pelbagai perspektif, disiplin dan sektor yang berbeza dalam menangani isu-isu kompleks yang dihadapi oleh pendidikan tinggi dan pada masa yang sama meneroka pendekatan baharu untuk pengajaran dan pembelajaran yang boleh mewujudkan pengalaman pembelajaran yang berharga,” ujarnya lagi.

Selaras dengan tema GHEF 2023 iaitu Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi dalam Era Pasca Pandemik, beliau berharap semua pihak boleh mengutamakan dasar dan amalan yang akan mempercepatkan pembangunan pendidikan tinggi negara.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Pengurusan Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, YBhg. Dato’ Profesor Dr. Norzaini Azman; Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; dan Pengarah Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur GHEF 2023, Ts. Dr. Rohayati Mohd Isa.

Kredit Berita & Foto: Pusat Media Dan Perhubungan Awam, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 2068
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.