Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat KPT 2023
"Orang yang memiliki komitmen dan integriti yang tinggi, tidak pernah merasa takut, ragu atau bimbang dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka".
Pesan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian kepada warga KPT yang hadir ke majlis sambutan Hari Integriti Nasional (HIN) peringkat kementerian yang turut dirasmikan oleh beliau di sini pagi tadi.
Bertemakan 'Integriti Citra Malaysia MADANI', sambutan yang dianjurkan oleh Unit Integriti KPT ini adalah bersempena dengan sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 yang telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 5 November lalu sebagai usaha membudayakan integriti dengan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan KPT serta masyarakat.
Selain itu, KPT turut mengisi Sambutan Bulan Integriti Nasional dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti di jabatan, agensi dan Institusi-institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang mampu menyubur dan mengukuhkan sifat amanah dan tanggungjawab merentasi seluruh warga KPT termasuklah para pelajar.
Jelas YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany, beliau amat menghargai kebersamaan semua komponen KPT dalam menjayakan cita-cita menuju ke arah membudayakan tata kelola berintegriti berlandaskan kod etika dan tata kelakuan yang telah ditetapkan oleh kementerian.
Pada majlis tersebut juga, turut dilancarkan Kod Etika dan Tata Kelakuan KPT; Garis Panduan dan Pelaporan Kes-kes Tatatertib KPT; serta Pelan Antirasuah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Warga KPT yang hadir turut mengangkat lafaz Ikrar Integriti Malaysia yang telah diketuai oleh Timbalan Pengarah, Unit Tadbir Urus dan Institusi, Bahagian Governan dan Kecemerlangan, JPPKK, Encik M. Azmi Hj. Ruzali serta sesi wacana integriti bersama Mantan KSN, YBhg. Tan Sri Sidek Hassan.
Reruai pameran oleh jabatan serta agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Penjara dan lain-lain lagi turut dibuka di lobi bangunan KPT yang memaparkan pengisian serta kesedaran berintegriti.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 5771