KPT Rai Pengamal Media Zon Selatan

KPT Rai Pengamal Media Zon Selatan

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dan para pengurusan tertinggi kementerian telah meraikan pihak media zon Selatan di majlis libat urus bersama mereka di sini semalam.

Majlis yang dianjurkan itu adalah bagi menghargai jalinan kerjasama yang disumbangkan oleh para pengamal media yang telah banyak membantu dalam menyebarluaskan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara berterusan kepada masyarakat serta warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Malah, majlis tersebut turut menjadi platform terbaik merapatkan para pengamal media zon selatan dengan pihak pengurusan KPT khususnya pegawai perhubungan awam di bawah KPT untuk sama-sama meluaskan lagi jaringan manfaat ke pelusuk komuniti.

Pada majlis yang sama, YB Menteri KPT turut menyampaikan sumbangan Simpan SSPN Prime oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada anak-anak pengamal media yang terpilih sebagai akaun simpanan pendidikan.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, YBhg. Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), YBhg. Datuk Prof. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; dan Ketua Eksekutif PTPTN, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1333
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.