YB Menteri Kongsi Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Dengan Pelajar UMPSA
Agenda pemerkasaan mahasiswa yang sedang direalisasikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bukanlah hanya memfokuskan kepada pindaan undang-undang bagi menjalankan pilihan raya memilih wakil pelajar sahaja, malah ia turut melibatkan pemberian autonomi kepada mereka untuk menjana pendapatan serta menguruskan aktiviti-aktiviti bermanfaat untuk rakan-rakan yang lain.
Selain itu, agenda tersebut turut merangkumi usaha meningkatkan kualiti dan mutu; jalinan kerjasama dengan industri; keselamatan dan kesejahteraan di kampus; serta kebolehpasaran graduan dalam mengupayakan para mahasiswa mengukuh kematangan dan kedewasaan masing-masing.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2 ribu orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di pentas Forum Bicara MADANI: Mahasiswa Tonggak Negara MADANI di sini petang tadi.
Forum tersebut dianjurkan bersempena Hari Terbuka UMPSA ke-21 dan Ekspokonvokesyen UMPSA kali ke-18.
Beliau turut menggesa mahasiswa UMPSA untuk mendukung enam (6) prinsip yang membentuk Malaysia MADANI agar masyarakat kita dapat bangkit semula dan seterusnya mampu menjadi sebuah negara yang matang, negara yang masyarakatnya sarat dengan nilai-nilai unggul dan dicirikan dengan kesejahteraan yang merentasi segala latar dan perbezaan.
Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan program Keusahawanan MySiswa UMPSA yang dijangka mampu menyediakan ekosistem bagi meringankan perbelanjaan harian pelajar di kedua-dua kampus mereka.
Beliau turut menyampaikan Surat Tawaran Manfaat SULUNG 2.0 serta insiatif lain untuk para pelajar di universiti tersebut.
Prihatin dengan situasi semasa di Gaza, beliau turut berbesar hati melancarkan Tabung Solidariti Palestine UMPSA hasil sumbangan RM30,000 daripada UMP Advanced, Yayasan UMP dan UMP Holdings.
Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBhg. Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi; YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman; Naib Canselor UMPSA, YBhg. Prof. Ts. Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin.
- Terakhir dikemaskini pada .
- Hits: 3124