PABM KE-15 Julang Bahasa Melayu Ke Seantero Dunia

PABM KE-15 Julang Bahasa Melayu Ke Seantero Dunia

Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2023 kali ke-15 bagi merebut Piala Perdana Menteri telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin di sini malam tadi.

Bertemakan ‘Memartabatkan Citra dan Kedaulatan Bahasa Melayu’ tiga (3) kategori telah dipertandingkan iaitu Alam Melayu, Antarabangsa, serta Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) yang melibatkan penyertaan dari tujuh (7) buah negara termasuk Malaysia, Brunei, Uzbekistan, China, Bangladesh, Sudan dan Timor-Leste.

Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, sejak edisi sulungnya pada tahun 2007, PABM telah menjadi salah satu daripada program utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Khususnya dalam mengangkat Bahasa Melayu dan mempromosi pengajian yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.

Edisi kali ini menyaksikan Johan bagi Kategori Alam Melayu telah dimenangi oleh Muhammad Mukhlisul Mubin bin Julasapiyah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bagi Kategori Antarabangsa (Institusi Pendidikan Tinggi [IPT] luar negara) telah dijuarai oleh Gulzoda Utkurova dari Tashkent State University of Oriental Studies (TSUOS), Uzbekistan.

Manakala kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia yang terbuka kepada pelajar antarabangsa di IPT tempatan telah dimenangi oleh Carla Goncalves de Oliveira Sarmento, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari Timor-Leste.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM10 ribu beserta piala pusingan dan piala iringan; Naib Johan pula membawa pulang wang tunai sebanyak RM8 ribu; manakala tempat ketiga RM5 ribu.

"Kita mahu mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang ulung. Bahasa ilmu. Bahasa yang menjadi perantara dalam membicarakan idea-idea besar dan mengujakan," ucap YB Menteri kepada para hadirin.

Tambah beliau lagi, “bukan sahaja dalam sempadan tanah air. Namun, turut jauh menjelajah ke sempadan negara-negara dunia yang lain".

Pusingan awal dan suku akhir bagi memilih tiga (3) yang terbaik daripada setiap kategori telah dijalankan secara atas talian September lalu untuk ditemukan pada kemuncak PABM ke-15 di Universiti Sains Malaysia (USM) malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Haji Mohammad Yusof Apdal; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM), YBhg. Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hj. Hussin; Naib Canselor USM, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; serta barisan pengurusan tertinggi KPT dan IPT awam.

  • Terakhir dikemaskini pada .
  • Hits: 1507
Logo KPT

Portal Rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi © 2022 Hak Cipta Terpelihara

Kemaskini Terakhir: Sabtu 04 Mei 2024, 16:50:23.